Jumaat, 28 Disember 2012

BERTAWASULNYA 3 ORANG LELAKI UNTUK MELOLOSKAN DIRI...

..........aku mempunyai seorang sepupu perempuan. Aku mengasihinya sebagaimana cinta seorang lelaki terhadap seorang perempuan yang cukup mendalam. Aku minta supaya dia melayani keinginan nafsuku. Namun begitu dia tidak sudi untuk berbuat demikian kecuali setelah aku memberikannya wang sebanyak seratus dinar..........................


Manakala bertawassul dengan amalan soleh telah pun diceritakan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam dimana sebuah hadis yang panjang ini menceritakan bahawa terdapat 3 orang lelaki terlepas dan terselamat dari terperangkap di dalam gua yang tertutup dengan cara bertawassul kepada Allah melalui amal soleh yang pernah mereka lakukan:
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar Radhiallahu ‘anhu katanya: Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, 

Tiga orang lelaki sedang berjalan-jalan, tiba-tiba turun hujan. Lalu mereka berteduh di dalam gua, lalu gua itu tertutup dengan sebuah batu besar menyebabkan mereka terkurung, lalu sebahagian daripada mereka berkata kepada sebahagian yang lain: “Ingatlah semua amalan baik yang pernah kamu lakukan kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala setelah itu berdoalah kepada Allah dengan amalan masing-masing. Semoga AllahSubhanahu wa Ta’ala menolong kesulitan ini. Lelaki pertama berkata: Ya Allah, suatu ketika dulu aku mempunyai dua orang ibu bapa yang sudah tua melarat. Mereka tinggal bersama keluargaku yang terdiri dari seorang isteri dan beberapa orang anak yang masih kecil. Aku pelihara mereka serta berkhidmat untuk mereka. Sebaik saja aku mempunyai masa lapang aku terus memerahkan susu untuk mereka.


Aku utamakan kedua orang tuaku untuk meminumnya terlebih dahulu daripada anak-anakku. Satu hari kerana kesibukan pekerjaanku sehingga ke petang, baru aku dapat pulang. Aku dapati kedua orang tuaku sudah tidur. Seperti biasa aku terus memerah susu. Aku letakkan susu tersebut di dalam sebuah bejana. Aku berdiri di hujung kepala kedua orang tuaku, namun aku tidak sanggup membangkitkan mereka dari tidur yang nyenyak. Aku juga tidak sanggup untuk memberi anak-anakku minum terlebih dahulu sebelum kedua orang tuaku meminumnya, sekalipun mereka meminta-minta dihadapanku kerana lapar dahaga. Aku terus setia menunggu mereka dan mereka juga tetap pula tidur sampai ke pagi. Jika Engkau (Allah) tahu apa yang aku lakukan itu adalah semata-mata mengharapkan keredhaanMu, maka tolonglah aku dari kesulitan ini. Gerakkanlah batu besar ini, sehingga kami boleh melihat langit.

Disebabkan khidmat bakti Allah Subhanahu wa Ta’ala berkenan menolong mereka dengan menggerakkan sedikit batu besar tersebut, sehingga mereka boleh melihat langit. Lelaki kedua pula berkata: Ya Allah, suatu ketika dahulu aku mempunyai seorang sepupu perempuan. Aku mengasihinya sebagaimana cinta seorang lelaki terhadap seorang perempuan yang cukup mendalam. Aku minta supaya dia melayani keinginan nafsuku. Namun begitu dia tidak sudi untuk berbuat demikian kecuali setelah aku memberikannya wang sebanyak seratus dinar. Untuk tujuan tersebut dengan susah payah akhirnya aku mampu mengumpulkan wang sebanyak itu. Aku membawa wang tersebut kepadanya.

Sebaik saja aku ingin menyetubuhinya, dia berkata: Wahai hamba Allah! Takutlah pada Allah. Janganlah kamu meragut kesucianku kecuali dengan pernikahan terlebih dahulu. Mendengar kata-kata tersebut aku terus bangkit daripadanya serta membatalkan niat jahatku itu. Seandainya Engkau (Allah) tahu bahawa apa yang aku lakukan ini adalah semata-mata untuk mencari keredhaanMu, tolonglah kami dari kesulitan ini. Gerakkanlah batu besar ini agar terbuka sedikit lagi.

Lelaki ketiga pula berkata: Ya Allah! aku telah mengupah beberapa orang pekerja. Semuanya telah ku berikan upahnya kecuali seorang yang telah pergi tanpa mengambil upahnya. Aku telah memperniagakan wang upahannya itu sehinggakan telah berlaku penambahan harta yang terlalu banyak. Selepas beberapa lama, pada suatu hari orang itu telah datang lalu berkata: Wahai hamba Allah! Berilah upah kepadaku. Aku telah berkata: Unta-unta, lembu-lembu, kambing-kambing dan hamba-hamba yang kami nampak ini semuannya adalah upah kamu. Yakni wang upahanmu itu aku telah niagakan dan inilah hasilnya. Orang itu berkata:, Wahai hamba Allah!, jangan lah bergurau. Aku berkata: “Aku tidak bergurau, (“aku sedang menceritakan perkara yang sebenar”). Maka (selepas penjelasanku ini) orang itu membawa semua harta itu, sedikitpun tidak ditinggalnya. Ya Allah! jika perkara ini aku lakukan semata-mata untuk redhaMu maka jauhkan lah kami daripada musibah yang menimpa kami ini.
Akhirnya Allah pun menolong mereka dengan menggerakkan batu besar yang menutupi gua dan membolehkan mereka keluar  dari tempat perteduhan tersebut.

 (Hadis Riwayat Bukhari)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan