Rabu, 23 Januari 2013

MENGAPA RASULULLAH SEBUT “Aku ialah keturunan dua orang yang disembelih iaitu Ismail dan Abdullah.”


...menulis nama “Abdullah” pada satu anak panah satu anak panah lagi ditulis dengan “10 ekor unta”. Jika nama yang keluar ialah Abdullah, maka hendaklah ditambah dengan 10 ekor unta lagi. Jika yang keluar ialah unta, maka..


Abdullah bin Abdul Muttalib

Abdul Mutalib mempunyai 10 orang anak lelaki iaitu al-Harith, al-Zubair, Abu Talib, Abdullah, Hamzah, Abu Lahab, al-Ghaidaaq, al-Miqwam, Saffar dan al-‘Abbas. Abdul Mutalib juga mempunyai enam orang anak perempuan iaitu al-Bayda’, Barrah, ‘Atikah, Safiyyah, Arwaa dan Umaimah.


Abdullah ialah anak lelaki Abdul Mutalib dari isterinya yang bernama Fatimah binti ‘Amru. Abdullah ialah anak yang paling disayangi Abdul Mutalib kerana sifat peribadi Abdullah yang lemah lembut, menghormati orang tua dan sopan santun.

Abdullah disukai ramai sehingga ramai anak-anak gadis teringin menjadi isteri Abdullah. Orang-orang tua selalu merisik khabar bertanyakan Abdullah kerana mereka berangan-angan ingin menjadikan Abdullah menantu mereka.

Abdul Mutalib bernazar jikalau beliau mendapat 10 orang anak lelaki, beliau akan mengorbankan salah seorang anak beliau. Abdul Mutalib menceritakan nazarnya kepada anak-anaknya. Anak-anak Abdul Mutalib mengikut sahaja kata-kata ayah mereka.

Suatu hari, Abdul Mutalib telah menulis nama kesemua anak lelaki beliau pada anak panah dan diberikan kepada berhala Hubal. Apabila digoncang anak panah itu, maka nama yang keluar ialah Abdullah.Lantas, untuk menunaikan nazarnya, Abdul Mutalib telah mengambil pisau dan membawa Abdullah ke Kaabah untuk disembelih.

Orang-orang Quraisy telah menghalang Abdul Mutalib berbuat demikian terutamanya bapa saudara Abdullah sebelah ibunya dari kalangan Bani Makhzum iaitu al-Mughirah bin Abdullah al-Makhzumi dan saudaranya sendiri Abu Talib. al-Mughirah bin Abdullah al-Makhzumi khuatir jikalau apa yang dilakukan Abdul Mutalib itu akan menjadi adat yang akan diikuti masyarakat Arab selepas itu.

Setelah dihalang, Abdul Mutalib telah berkata; “Lalu apa yang perlu aku lakukan dengan nazarku?” Lalu mereka mencadangkan Abdul Mutalib supaya bertemu seorang tukang tilik wanita di Khaibar untuk meminta nasihatnya dan ada setengah pendapat mengatakan Abdul mutalib bertemu dengan 10 orang ilmuan pakar bijak pandai.

Abdul Mutalib menulis nama “Abdullah” pada satu anak panah satu anak panah lagi ditulis dengan “10 ekor unta”. Jika nama yang keluar ialah Abdullah, maka hendaklah ditambah dengan 10 ekor unta lagi. Jika yang keluar ialah unta, maka hendaklah disembelih unta-unta itu.
Abdul Mutalib lantas mengikut apa yang dinasihatkan. Namun, apabila dicabut anak panah, yang keluar ialah nama Abdullah. Lalu Abdul Mutalib pun menambah jumlah unta sebanyak 10 ekor lagi.

Itulah yang berlaku sehingga jumlah unta genap 100 ekor, di mana selepas itu barulah keluar anak panah yang tertulis “10 ekor unta”. Lalu unta-unta tersebut disembelih sebagai ganti Abdullah. Lalu terselamatlah Abdullah daripada menjadi mangsa sembelihan Abdul Mutalib. Nabi Muhhamad pernah berkata: “Aku ialah keturunan dua orang yang disembelih iaitu Ismail dan Abdullah.”
Abdullah Mutalib telah meninggalkan semua unta-unta yang disembelih tanpa menghalang sesiapa yang mahu mengambil daging unta-unta sembelihan itu samada manusia ataupun binatang buas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan