Tidur itu adalah HARUS. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi)?" (An-Naba' [78] : 10).
Orang dewasa memerlukan sekurang-kurangnya 6 jam untuk tidur setiap hari. Ini menunjukkan bahawa satu perempat daripada keseluruhan umur kita dihabiskan untuk tidur. Jika umur kita 40 tahun bermakna 10 tahun kita habiskan untuk tidur sahaja. Jadi alangkah ruginya kita jika masa tidur tidak digunakan sebagai masa beribadah yakni tidur tanpa ada sekelumitpun niat ikhlas yang mampu meningkatkan darjat tidur.
Untuk menjadikan tidur itu satu ibadah:
1) Niatkan untuk berehat dan mendapatkan kembali tenaga untuk beribadah kepada Allah SWT.
2) Pelaksanaanya mestilah betul. Tidak tidur semasa bekerja, semasa memandu atau semasa mendengar khutbah dan dalam majlis ilmu.
3) Tidurlah di tempat yang selamat dan selesa.
4) Mejaga ada-adab tidur yang telah dianjurkan oleh Rasulullah saw.
5) Tidak tidur sehingga terlepas waktu solat.
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Aisyah bahawa Nabi telah bersabda: "Jika salah seorang di antara kamu berasa mengantuk, hendaklah kamu tidur sehingga hilang rasa mengantuknya. Jika seseorang bersembahyang ketika mengantuk bermungkinan dia membaca istighfar sedangkan sebenarnya dia sedang mencaci dirinya sendiri."
Dalam sebuah hadis disebutkan tentang kisah Abu Darda' yang, di antaranya, tidak mahu tidur malam kerana ingin melakukan ibadah. Salman, sahabatnya, telah menegurnya dengan berkata: "Tuhanmu ada hak ke atasmu, badanmu ada hak ke atasmu dan isterimu ada hak ke atasmu. Berikan kepada semua ini haknya." Ketika Nabi mendengar perkataan Salman, Baginda berkata: "Benarlah Salman." (Bukhari)
Dalam hadis yang lain diceritakan bahawa Baginda Nabi telah memasuki Masjid dan ternampak seutas tali yang merentangi dua tiang. Selepas bertanya, Baginda diberitahu bahawa tali itu adalah kepunyaan Zainab agar dia dapat berpaut kepadanya ketika keletihan melakukan sembahyang. Nabi pun terus mengeluarkan arahan:
"Buka tali ini! Hendaklah salah seorang di antara kamu bersembahyang ketika dirinya cergas, dan ketika sudah mengantuk hendaklah tidur." (Bukhari-Muslim)
Semua ini menunjukkan bahawa Islam amat mementingkan produktiviti yang berkualiti dalam setiap amalan. Ia juga menampakkan tentang perkaitan di antara produktiviti dan kualiti dengan tahap kecergasan diri seseorang.
Tidur siang pernah dianggap sebagai salah satu tanda kemalasan. Islam menganggapnya sebagai suatu kebaikan asalkan seseorang itu tidak berlebih-lebihan dengannya.
Di dalam kitab 'Misykatul Masabih' disebutkan tentang salah satu amalan sunnah yang pernah dilakukan oleh Nabi: "Tidur yang sedikit di waktu tengahari (qailulah) tidaklah keji. Rasulullah ada melakukannya."
Imam Al Ghazali di dalam kitab 'Ihya Ulumuddin' telah berkata: "Hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur di siang hari kerana ianya membantu ibadah di malam hari sebagaimana sahur membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun sebelum gelincir matahari untuk solat zohor."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan