Jumaat, 17 Ogos 2012

AIN JALUT,TUMBANGNYA KEMBALI TENTERA MONGOL



....orang Mongol merancang pula menakluk Mesir dan seterusnya Mekah dan Madinah. Hulagu Khan mengirim surat kepada Sultan Saifuddin Qutuz dengan memberikan kata dua iaitu... 
Bulan Ramadan bukan sahaja bulan rahmat dan keampunan malah bulan kemenangan terhadap umat Islam yang berjihad. Satu lagi peristiwa penting yang berlaku pada akhir bulan Ramadan adalah Perang Ain Jalut yang berlaku pada 25 Ramadan tahun 658 h, antara tentera Mongol dengan tentera Mesir.. Ain Jalut terletak dalam wilayah Palestin dan medan pertempuran ber
laku tidak jauh dari Kota al-Quds.

Peristiwa bermula apabila Pada tahun 1258, orang-orang Mongol di bawah pimpinan Hulagu Khan berjaya menakluk kota Baghdad yang menjadi kemegahan Khalifah Abbasiah yang telah memerintah selama lebih 500 tahun. Sebagai meraikan kemenangan mereka, Hulagu Khan membenarkan tenteranya melakukan apa sahaja terhadap penduduk Kota Baghdad. Akibatnya ramai umat Islam terbunuh dan banyak kitab-kitab agama dibakar dan abunya dibuang ke dalam Sungai Furat dan Dajlah sehingga airnya menjadi hitam.

Kemudian orang-orang Mongol merancang pula menakluk Mesir dan seterusnya Mekah dan Madinah. Hulagu Khan mengirim surat kepada Sultan Saifuddin Qutuz dengan memberikan kata dua iaitu menyerah kalah atau berperang. Baginda mengumpulkan pembesar-pembesar dan panglima-panglima tenteranya lalu berkata,“Wahai tentera Muslimin, aku akan pergi berperang. Sesiapa yang memilih untuk berjihad, mari bersama aku. Sesiapa yang tidak mahu berjihad, baliklah ke rumah. Tetapi Allah akan memerhatikan kamu. Kehormatan muslimin yang dicabuli akan ditanggung oleh mereka yang tidak mahu pergi berjihad.”

Untuk membuat persiapan berperang memerlukan wang yang banyak kerana itu pembesar Mesir mencadangkan agar dilakukan kutipan wang dari rakyat jelata. Sultan Qutuz meminta fatwa dari seorang ulama bernama, Izzuddin Abdis Salam. Beliau berkata:
“Apabila negara Islam diserang, maka wajib ke atas umat Islam untuk berjihad memerangi musuh. Mengambil harta rakyat untuk persediaan perang hukumnya harus dengan syarat semua pembesar negara menyerahkan semua harta milik mereka kecuali kuda dan senjata. Ada pun mengambil harta rakyat sedangkan pemimpin memiliki harta dan barang mewah maka ianya adalah tidak harus.”

Ekoran dari fatwa itu Sultan Qutuz memerintahkan semua pembesar negara dan ketua panglima tentera menyerahkan semua harta yang mereka miliki kepada negara. Kemudian Sultan Qutuz memilih untuk menghadapi tentera Mongol di luar Mesir. Dan mereka bertemu di An Jalut.

Pada hari Jumaat 25 Ramadhan 658 hijrah berlaku pertempuran antara tentera Islam yang dipimpin Sultan Qutuz dengan tentera Mongol. Semasa berlaku pertempuran Sultan Qutuz terjun ke medan perang.Seorang pembantunya cuba menahan bimbang Sultan Qutuz terbunuh lalu baginda berkata,“Ada pun diriku,sesungguhnya sedang menuju ke syurga. Ada pun Islam, ia milik Tuhan yang tidak akan membiarkannya.”


Tentera Islam bertambah semangat dengan turunnya Sultan Qutuz ke medan perang. Mereka melaungkan kata-kata “Ya Allah bantulah hambamu, Qutuz untuk menghancurkan Mongol.

Akhirnya tentera Islam beroleh kemenangan. Semua tentera Mongol terbunuh tidak ada seorang pun yang hidup. Sesungguhnya Sultan Qutuz berjaya mengembalikan maruan umat Islam. Kematian berjuta umat Islam yang dibunuh orang Mongol dapat ditebusnya di Ain Jalut.

Orang-orang Mongol yang telah bermaharaja lela selama lebih 40 tahun dan mereka tidak pernah dikalahkan akhirnya terpaksa melutut kepada tentera Mesir yang dipimpin Sultan Saifuddin Qutuz.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan