Sabtu, 6 Ogos 2011

Semua Saling harap Mengharap???

''Kalau sudah kedekut sangat untuk menggunakan dana masjid kerana masjid masih baru kononnya, umumkan sahaja kepada jamaah masjid yang hadir, saya amat yakin, bukan sehaja RM50, malah lebih daripada itupun kita boleh dibantu kerana rakyat Malaysia amat pemurah''.



Bulan lalu, saya(Ustaz Redzuan tee) didatangi oleh seorang India Muslim yang telah memeluk Islam hampir 10 tahun dan memerlukan bantuan, juga kunjungan follow up seorang warga Perancis yang ingin memeluk Islam sebagaimana yang saya telah nyatakan sebelum ini. Dua kes yang berbeza, tetapi matlamat sama iaitu mereka memerlukan pertolongan dan bimbingan. Apakah peranan kita? Menerima dan membantu atau menolak mereka dengan pelbagai alasan?

Dalam kes pertama, saya berasa agak pelik bagaimana India Muslim tersebut boleh tahu tempat tinggal saya dan surau tempat saya selalu berjamaah, yang mana saya juga adalah pengerusi surau itu. Beliau menunggu saya di surau dari pagi sampai petang. Nasib baiklah saya turun berjamaah pada waktu maghrib, jika tidak, beliau akan pulang dengan hampa dan tangan kosong.

Setelah disiasat, barulah saya dapat tahu bahawa beliau sebelum ini telah pergi ke sebuah masjid di Bandar Baru Ampang berhampiran surau tempat saya untuk mendapatkan bantuan tambang bas bagi membolehkannya pulang ke rumahnya di Pulau Pinang. Salah seorang ahli jawatankuasa masjid tersebut menyuruh beliau datang berjumpa saya untuk mendapatkan bantuan.

Dipendekkan cerita, India Muslim tersebut mahukan sedikit wang sebagai tambang balik. Sama ada beliau ikhlas atau tidak, kita serahkan pada Allah swt. Apa yang penting ialah beliau adalah seorang saudara Muslim melalui bukti dokumen yang dibawanya dan telah datang kepada kita meminta pertolongan.

Persoalannya, kenapa sebuah masjid yang mempunyai dana dan kutipan jumaat yang banyak tidak dapat membantu saudara Muslim walaupun sedikit. Kenapa harus dirujukkan kepada saya? Adakah saya seorang hartawan? Bantuan yang diperlukan hanya wang sekitar RM50 - RM100 sahaja bagi membolehkan beliau pulang ke destinasi.

Alasan yang diberikan oleh masjid tersebut adalah masjidnya masih baru (satu tahun), nazirnya belum dilantik dan jawatankuasanya baru dibentuk. Apakah alasan tersebut begitu kuat untuk kita menolak bantuan seorang saudara Muslim yang memerlukan dan telah datang kepada kita meminta bantuan? Inilah mentaliti yang mesti berubah dan diubah. Jika tidak, Islam akan terus dipandang rendah dan sukar untuk berkembang.

Jika perkara sekecil ini dirujuk kepada insan kerdil seperti kami dan rakan-rakan senasib, apakah peranan kita sebagai umat Islam yang bersaudara? Saban hari kami menerima panggilan telefon berhadapan dengan masalah-masalah saudara Muslim yang memerlukan bantuan dan bimbingan. Letih juga dibuatnya. Ini tidak termasuk kerja-kerja kemasyarakat yang lain.

Jika semua mengharapkan satu pihak sahaja yang membantu, akhirnya sekuat mana pun seseorang itu, akhirnya akan rebah juga dibuatnya. Akibatnya, sudah tentu kerja-kerja dakwah akan tergendala. Persoalannya, kenapa kita tidak pakat-pakat bersama-sama melakukannya? Bukankah kita semua adalah seorang (pendakwah dan khalifah) yang bertangunggjawab menyampaikan walaupun satu ayat dan membantu walaupun sedikit. Sekurang-kurangnya kita berikhtiar, dan bukannya mengambil jalan singkat serta mengelakkan diri.

Sepatutnya, masing-masing membantu sekadar termampu. Rujukan kepada orang-orang tertentu hanya dilakukan setelah kita lakukan sebaik mungkin untuk membantu. Bantuan tidak sekadar dengan wang ringgit, tetapi melalui motivasi, tenaga dan sebagainya. Dalam kes ini, sekadar untuk memenuhi keperluan tambang bas, sudah tentu jumlahnya tidaklah banyak.
Kalau sudah kedekut sangat untuk menggunakan dana masjid kerana masjid masih baru kononnya, umumkan sahaja kepada jamaah masjid yang hadir, saya amat yakin, bukan sehaja RM50, malah lebih daripada itupun kita boleh dibantu kerana rakyat Malaysia amat pemurah.

Saya teringat kepada satu kisah tentang empat orang yang bernama Semua, Seseorang, Sesiapa dan Tiada. Terdapat satu tugas mustahak untuk disempurnakan dan Semua diminta melakukannya. Semua yakin dapat melakukannya. Seseorang akan melakukannya. Sesiapa mungkin telah melakukannya, tetapi Tiada yang melakukannya. Seseorang menjadi marah terhadapnya, kerana itu tugas Semua. Semua menganggap Sesiapa sahaja dapat melakukannya. Tiada yang menyedari bahawa Semua tidak mungkin melakukannya. Perkara ini berakhir dengan Semua mencemuh Seseorang apabila Tiada yang melakukan apa yang Sesiapa mungkin telah lakukan.

Saya harap pembaca dapat memahami kisah mudah di atas. Inilah akibatnya apabila semua saling harap mengharap. Kerja-kerja yang sepatutnya menjadi tanggungjawab langsung tidak berjalan. Bayangkan jika semua melakukannya mengikut kemampuan masing-masing, sudah tentu kita akan dapat keputusan yang memuaskan. Jangan sampai kerja yang begitu mudah, kita merujuk kepada orang yang sepatutnya kita tidak perlu rujuk. Inilah akibatnya apabila dalam fahaman kita, kerja-kerja dakwah dan kerja-kerja berkaitan saudara Muslim, adalah tugas orang-orang tertentu atau orang seperti kami, yang lain tidak perlu melakukannya. Ataupun kerja-kerja Islam (termasuk berdakwah) adalah tanggungjawab orang agama (ustaz atau ustazah), orang lain tidak payah, akhirnya sebahagian mengambil sikap melepas tangan.

Sama juga isu, kita bebankan semua perkara ini kepada badan-badan tertentu seperti pejabat agama dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan seperti Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia dan Persatuan Cina Muslim atau India Muslim Malaysia dan sebagainya. Ya, memang badan-badan ini perlu dirujuk dalam kerja-kerja dakwah dan proses pengIslaman, tetapi tidak semua perkara perlu dirujuk kepada mereka. Perkara-perkara terutama berkaitan dengan kebajikan mereka, adalah dalam lingkungan kita berkemampuan untuk membantunya. Tidakkah dengan saling membantu kita dapat meringankan beban dan tanggungjawab sesama kita. Akhirnya, semua tugas menjadi mudah, sebab yang berat sama dipikul dan yang ringan sama dijinjing.

~ Renungannya ialah kita semua adalah khalifah di dunia dan juga kepada pemimpin setempat, jangan diambil mudah kerana kita adakan dipertanggungjawabkan atas amanah tersebut. ~jaksakoraja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan