Khamis, 4 Ogos 2011

Nama ISLAM...

Secara literalnya, perkataan “agama” membawa maksud “tidak kacau dan selamat.” Sifat itu memungkinkan kita memahami bahawa agamalah yang berperanan mengatur kehidupan aman dan damai.

Setiap pengikutnya adalah diminta atau diwajibkan hidup dalam keadaan damai. Tidak melakukan kekacauan atau huru-hara terhadap orang lain. Dari situlah lahirnya tatacara kehidupan bermasyarakat yang harmoni, tersusun kemas dengan segala nilai dan norma kehidupan bersama.


Demikian di syurga, al-Quran menggambarkan kaum beriman akan menperoleh buah-buahan dan menperolehi apa yang mereka minta. Kepada orang-orang beriman itu dikatakan: “Damai, damai”, sebagai ucapan selamat daripada Tuhan Yang Maha Penyayang (al-Quran, Surah Yaasin, ayat 57-58).

Bahkan di sana, mereka orang-orang beriman tidak mendengar ucapan yang tidak bermanfaat dan tidak pula hujatan tuduhan berdosa, melainkan tegur sapa, ‘damai, damai’, ‘selamat, selamat’ (al-Quran, Surah al-Waqiah, ayat 25-26).


Agama mengajar manusia menjauhi sifat-sifat tercela dan mengkhianati orang. Setiap orang wajib menghormati hak orang lain dan menjauhkan diri daripada sebarang tindakan yang boleh mengakibatkan permusuhan dan kekacauan. Menghasut dan menyebarkan permusuhan atau mencipta kekacauan adalah perbuatan yang sangat dibenci oleh agama. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Dan (sebaliknya) orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya, dan memutuskan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan, serta mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi, mereka itu beroleh laknat, dan mereka pula beroleh balasan hari akhirat yang seburuk-buruknya.” (ar-Ra‘d: 25)


Tidak hairanlah apabila sesuatu kekecohan berlaku dalam masyarakat, perbezaaan pendapat atau tindakan akan dituntut diadakan satu usaha damai. Usaha mendamaikan mereka yang bermusuh, berbeza pendapat dan berkonflik akan mengembalikan kehidupan bermasyarakat yang harmoni. Walau bagaimanapun, keresahan dan kekalutan pendirian disebabkan oleh kegagalan kita mengawal rasa hati dan keserakahan batin.

~jaksakotaraja

Tiada ulasan:

Catat Ulasan