Ahad, 7 Ogos 2011

Nubuwwah





‘Nubuwwah’ ialah berita-berita ghaib atau ‘ramalan-ramalan’ tentang masa depan sesuatu dan tepatnya berita-berita ghaib itu dengan kenyataan dengan sendirinya membuktikan kebenaran Muhammad sebagal Rasulullah.


Jika sebelum kerasulannya Muhammad sudah terkenal sebagai seorang yang benar lagi dipercayai, maka selepas kerasulannya ‘Nubuwwah’ itu sendiri semakin menguatkan kebenaran risalahnya. Yang dimaksudkan dengan ‘Nubuwwah’ ialah berita-berita ghaib atau ‘ramalan-ramalan’ tentang masa depan sesuatu dan tepatnya berita-berita ghaib itu dengan kenyataan dengan sendirinya membuktikan kebenaran Muhammad sebagal Rasulullah. ‘Tuhan Yang Maha Mengetahui yang ghaib, dan Dia tidak menyatakan kepada seorang pun tentang yang ghaib itu, kecuali kepada Rasul yang diredhai-Nya” (Al-Jin: 26-27). Dan Muhammad sendiri pun mengakui bahawa tidaklah dia mengetahui yang ghalb, kecuali apa yang diwahyukan kepadanya(Al-An’am: 50).
Di antara contoh-contoh Nubuwwah tersebut ialah mengenai kerajaan Rom Timur (Byzantine). Kerapkali apabila kaum musyirikin menentang kaum Muslimin di Makkah, mereka mengatakan bahawa bangsa Rom yang mempunyai kitab Injil telah dikalahkan oleh Parsi yang beragama Majusi. Dengan itu mereka yakin dapat mengalahkan kaum Muslimin, kerana kaum Muslimin juga dari ahli Kitab. Dari peristiwa ini turunlah ayat: “Telah dikalahkan kerajaan Rom, dan mereka setelah dikalahkan itu menang dalam beberapa bidh’i lagi” (Al-Rum: 24). Ketika turun ayat ini, Rum baru saja dikalahkan, iaitu antara tahun 614-615 M. Tetapi tujuh tahun kemudian, mereka dapat merebut kemenangannya kembali. Alangkah tepatnya ayat Al-Quran tersebut, sebab kalimat “bidh’i” itu bermaksud di antara 3-9 tahun!
Lantaran keyakinannya tentang kebenaran firman Allah S.W.T. itulah maka Abu Bakar berani bertaruh dengan Ubayy bin Khallaf yang berakhir dengan kemenangan Abu Bakar. Sebenarnya pertaruhan ini bukannya perjudian, sebab judi berdasarkan keuntungan, sedangkan tindakan Abu Bakar itu semata-mata berasaskan keyakinannya yang penuh terhadap kebenaran Al-Quran.
Sewaktu berlakunya peristiwa pemboikotan terhadap keluarga Bani Hashim, Rasulullah lalu memberitahu pakciknya Abu Talib bahawa surat perjanjian yang mereka (ketua-ketua Quraisy) gantungkan di Kaabah itu sudah dimakan anai-anai, kecuali nama Allah. Lalu keluarlah Abu Talib ke masjid dan menyampaikan kepada kaum Quraisy kenyataan Muhammad itu. Katanya: “Anak saudaraku itu tidak pemah berdusta. Marilah kita periksa. Kalau dia betul, hendaklah kamu berhenti daripada memboikot kami. Tetapi kalau ia berdusta, aku akan serahkannya buat kamu membunuhnya”. Tawaran Abu Talib itu disambut baik, lalu mereka pun menuju ke Kaabah untuk melihat surat perjanjian itu. Alangkah terkejutnya mereka kerana mendapatinya tepat sepertimana perkataan Muhammad. Mustahil Muhammad dapat mengetahuinya, kerana surat itu ditaruh dalam Kaabah di suatu tempat yang tersimpan dan berkunci, sedang kuncinya pula dipegang oleh kaum Quraisy sendiri!
Selepas peperangan Badar yang membawa kekalahan kaum musyrikin, bertekadlah Umair di depan Safwan untuk membunuh Muhammad, kerana anaknya telah ditawan. Ketika dia menemui Nabi di Madinah, dia menyatakan maksud kedatangannya cuma tentang urusan anaknya tersebut. Mendengarnya Nabi memaksa Umair agar memberitahu maksud sebenar kedatangannya, namun jawapannya tetap sama. Akhirnya Nabi pun berkata: ‘Tidak, tetapi engkau dan Safwan duduk di pinggir Kaabah dan kamu beromong-omong begini dan begitu…” Di saat ini juga Umair masuk Islam, sambil berkata: “Dahulu kami dustakanmu tentang khabar yang datang kepadamu dari langit, tetapi dalam urusanku tidak ada yang hadir melainkan aku dan Safwan”.
Salah seorang tawanan Nabi ialah Abbas bin Abdul Mutalib, pakciknya sendiri. Ketika Nabi meminta agar dibayar wang tebusannya, dia lalu membayarnya sambil berkata kepada Nabi: “Sesungguhnya engkau telah jadikan daku seorang miskin dalam bangsa Quraisy seumur hidupku”. Maka bersabdalah Nabi: “Bagaimana boleh jadi? Padahal engkau tinggalkan beberapa harta benda kepada Ummul-Fadhl, dan engkau berkata kepadanya: Kalau aku mati, engkau jadi perempuan yang kaya”. Lantaran terkejut, Abbas pun berkata: “Demi Allah! Tidak seorang pun yang tahu hal ini!”
Ketika berlakunya peperangan Muktah di Sham, Nabi yang berada di Madinah berkata sambil berlinangan air matanya: ‘Telah mati Zaid, telah mati Jaafar, telah mati lbnu Rawahah, lalu panji-panji itu diambil oleh suatu pedang dari pedang-pedang Allah” (maksudnya Khalid Al-Walid). Sesudah peperangan datanglah berita seperti yang dikhabarkan tersebut! Siapakah yang memberitahu kejadian-kejadian di negeri Sham yang begitu jauh dari Madinah kalau bukan Tuhan yang mengutusnya sebagai Rasul?
Nabi juga menyatakan bahawa puterinya Fatimah adalah orang yang mula-mula sekali akan menyusuli kewafatannya kelak. Dan benar sekali kerana 6 bulan selepas kewafatan baginda, Fatimah pun meninggal. Dengan kematiannya barulah Ali bin Abu Talib membaiat Abu Bakar sebagai Khalifah. Tentang Ali, Nabi pernah mengatakan bahawa dia akan mati terbunuh ketika berpuasa dengan suatu pukulan di kepala sewaktu sedang sujud. Memang benarlah Nabi kerana Ali telah terbunuh dengan pukulan pedang oleh Abdul Rahman bin Muljam ketika beliau sedang mengerjakan sujud pertama dalam solat Subuh pada bulan Ramadan.
Mengenai kejadian-kejadian yang bakal menimpa putera-putera Ali, iaitu Hassan dan Hussain, turut juga disebut-sebut oleh Nabi. Terhadap Hassan, Nabi mengatakan: “Sesungguhnya anakku Hassan ini (akan menjadi) seorang ketua, dan mudah-mudahan Allah akan damaikan dengan perantaraannya antara dua golongan yang besar dari kaum Muslimin”. Demikianlah yang terjadi kemudiannya, apabila Hassan yang mengganti ayahnya telah menyerahkan jabatan Khalifah kepada Muawiyah di Kufah pada tahun 661 M. Ada pun mengenai Hussain, juga telah diberitahu oleh Nabi yang dia akan dibunuh secara kejam di Kufah. Dan itulah yang terjadi apabila Hussain bersama penyokong-penyokongnya telah diserang oleh angkatan Ubaidullah bin Ziyad di Karbala, Kufah pada zaman Yazid bin Muawiyah. Sewaktu kematiannya, kepala Hussain telah dipotong sedang di badannya terdapat 33 bekas pedang dan 34 bekas tombak.
Di zaman pemerintahan Usman bin Affan, meninggallah Abu Zar Al-Ghifary, salah seorang sahabat besar Nabi. Sebenarnya kematian Zar telah pun disebut-sebut oleh Nabi sewaktu tentera-tentera Muslimin sedang dalam perjalanan menuju Tabuk. Oleh kerana unta yang dinaiki oleh Abu Zar tercedera, terpaksalah ia berjalan kaki seorang diri untuk menyusuli pasukannya yang agak jauh meninggalkannya. Ketika pasukan Muslimin sedang berehat di suatu tempat, kelihatanlah Abu Zar sedang berjalan sendirian di lereng-lereng bukit. Maka bersabdalah Rasulullah: “Semoga Allah melimpahkan rahmat kepada Abu Zar. la berjalan seorang diri, dan ia juga akan meninggal seorang diri, dan akan di bangkitkan pada Hari Akhirat seorang diri juga”. Apa yang berlaku kemudiannya ialah Abu Zar meninggal seorang diri ketika dalam pembuangan oleh Usman bin Affan. Apabila mayatnya dijumpai oleh Abdullah bin Mas’ud, maka menangislah ia sambil berkata: ‘Sungguh benarlah Rasulullah bahawa Abu Zar meninggal seorang diri”
Rasulullah juga telah memberitahu beberapa peristiwa yang kemudiannya benar-benar berlaku ketika tercetusnya peperangan Jamal dan Siffin di zaman Ali bin Abu Talib. Terhadap Zubair Al-Awwam, Nabi berkata: “Nanti engkau akan memerangi Ali, dan dalam hal ini engkau yang akan menganiaya”. Apa yang jelas ketika pertempuran Jamal sedang sengit ialah bahawa Zubair telah melarikan diri, kerana kurang yakin apakah penentangannya terhadap Ali benar atau tidak. Tentang Ammar bin Yasir, Nabi bersabda: “Kasihan Ammar, dia akan dibunuh oleh golongan yang menderhaka”. Demikianlah yang terjadi kemudiannya di mana Ammar telah mati terbunuh oleh tentera-tentera Muawiyah di dalam peperangan Siffin.
Pada zaman Muawiyah bin Abu Sufyan sebagai Khalifah, telah meninggal pula Abu Ayub AI-Ansari, sahabat besar Nabi. Kematiannya ketika dalam peperangan dan mayatnya yang ditanam di bawah benteng Constantinople menjadikan apa yang diberitahu oleh Nabi lebih dulu terbukti kebenarannya.
Demikianlah sekelumit daripada Nubuwwah Muhammad. Kebenaran demi kebenaran terhadap apa yang telah diberitahunya terlebih dahulu menimbulkan suatu pertanyaan: Dari manakah Muhammad mengetahui semuanya itu? Kalau ia bukannya Rasulullah, bolehkah dia mengetahuinya?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan