Jumaat, 21 Oktober 2011

HIMPUNAN ISLAM SEJAGAT




Mereka yang menyedari bahawa himpunan hasil gabungan mencecah 1,000 NGO Muslim yang julung kali dianjurkan ini, bakal menyatukan pelbagai lapisan umat Islam di negara tercinta ini. Bukan untuk memecah belahkan seperti mana yang dilaungkan oleh induknya yang terpaksa menikus apabila berhadapan dengan isu Islam dan sekadar mempergunakan ayat al-Quran dan menampalkan peristiwa sejarah silam untuk memperteguhkan kuasa politiknya sahaja.

Sebenarnya, nilai keislaman itu terletak kepada kesungguhan seseorang untuk menzahirkan niat baiknya, dan bukan hanya menterjemahkan firman Allah SWT tetapi tidak melakukannya. Islam bukanlah suatu agama yang menganjurkan permusuhan, persengketaan, ketegangan dan perpecahan kerana sebagai cara hidup, Islam itu adalah agama yang berasaskan kasih sayang, kemesraan dan hidup berhemah.

Perhimpunan tersebut sebenarnya menjadi petunjuk bahawa lebih ramai rakyat mahukan gelora yang diakibatkan oleh pautan politik akan terurai dan dapat dibenamkan kerana yang lebih diberikan keutamaan ialah kehidupan yang aman dan tenteram, tidak disebabkan oleh perbezaan pegangan agama.

Dalam tragedi banjir besar di China, rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan politik menubuhkan tabung bencana bagi meringankan beban mangsa. Ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia berupaya melupakan sengketa politik demi kemanusiaan dan sifat kasih sayang itu adalah selaras dengan gesaan Islam.


Sebagai agama majoriti penduduk Malaysia, setiap daripada umat Islam sanggup menghulurkan derma sekadar yang termampu manakala yang lain turut mengumpul pakaian, bahan makanan dan ubat-ubatan. Nilai kasih sayang itu adalah sesuatu yang amat menyeluruh dan kerana itu Malaysia terus dilihat sebagai sebuah negara yang amat serius membumikan semangat kasih sayang.




Sewaktu cuba meringankan beban mangsa malapetaka ada sindiran bahawa itu adalah bersifat politik. Maka, keengganan sebuah parti pembangkang itu juga boleh dilihat bersifat politik, kerana bimbangkan bahawa penglibatannya nanti ditafsirkan sebagai satu percubaan mengalah dan meruntuhkan kredibilitinya sendiri.


Pendirian itu sebenarnya sudah memberikan gambaran bahawa kejelasan maksud telah dipolitikkan sehingga menjadi satu pilihan yang juga bersifat politik. Seharusnya parti itu sedar bahawa politik tidak akan selama-lamanya boleh dijadikan senjata untuk menolak dan menepis sebarang bentuk bantuan kemanusiaan.


Prinsip Islam amat jelas, yang gagah membantu yang lemah. Mereka yang senang membantu mereka yang lemah. Mereka yang tersasar dari landasan perlu dikembalikan ke pangkal jalan manakala yang kehilangan arah di pandu agar segera memperoleh peluang menemui jalan pulang. Inilah makna membumikan kasih sayang, kerana naluri itu adalah nilai kesejagatan yang paling luhur dalam kehidupan manusia yang boleh berfikir, menilai dan menentukan arah sesuai dengan fitrahnya.


Kerana itulah ada di antara kita boleh menerima, setiap bencana yang menimpa sebenarnya satu kaedah Allah SWT menguji kekuatan syahadah yang kita lafazkan setiap ketika. Setiap kejadian buruk adalah ujian yang sengaja dilakukan oleh Allah SWT untuk menguji kecairan iman dan kekentalan jiwa kita.


Bahagialah mereka yang menjadikan kasih sayang sebagai teras dan budaya hidup seharian tanpa mengharapkan keuntungan peribadi. Beruntunglah mereka yang boleh membumikan kasih sayang untuk kepentingan manusia sejagat dan bukannya atas kemahuan politik semata-mata.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan