Jumaat, 7 Oktober 2011

BELANJAWAN RAKYAT



Setiap kali belanjawan dikemukakan, tentunya ada lebih ramai rakyat yang menyambut strategi bajet yang lebih mengutamakan kepentingan rakyat dari segala-galanya. Sebagaimana dijanjikan sebelum ini, Belanjawan 2012 memberikan fokus membantu rakyat mengekang kenaikan kos sara hidup, dan bukannya bajet yang tidak mengambil kira masalah golongan berpendapatan rendah sebagaimana didakwa.

Minggu ini adalah minggu yang dinanti dengan penuh harapan oleh 28 juta rakyat Malaysia. Perdana Menteri akan mengumumkan pelbagai pendekatan belanjawan bagi mengurangkan beban rakyat, termasuk memperuntukkan lebih banyak wang untuk kesihatan dan pelajaran.

Dua sektor ini, setiap tahun akan memperoleh peruntukan besar, kerana amat penting untuk menjamin lahirnya modal insan yang dapat meneruskan kesinambungan pembangunan negara
Saban tahun, setiap rakyat sebenarnya menerima subsidi kerajaan sejak sebelum dilahirkan lagi. Sebelum seseorang bayi lahir, kerajaan memperuntukkan pembiayaan ibu-ibu hamil bagi mendapatkan pemeriksaan kesihatan, dan apabila tiba ketikanya bersalin, mereka bersalin di hospital kerajaan dengan bayaran paling minimum.


Setelah seorang kanak-kanak mencapai tahap umur persekolahan, mereka diberikan subsidi yuran sekolah dan buku teks. Para pelajar tidak perlu membayar gaji guru sebagaimana terpaksa ditanggung oleh rakyat Kampuchea.

Setiap pelajar, diwajibkan membayar gaji guru satu riel (RM 0.50) setiap hari dan ini bermakna sepanjang tahun dengan tempoh persekolahan selama 220 hari, seorang pelajar diwajibkan membayar RM110.00. Pelajar juga tidak dibekalkan buku teks dan keadaan sekolah mereka adalah serba kekurangan.

Di Malaysia, keluarga miskin dibantu sama ada melalui program E-Kasih ataupun dibiayai menerusi Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin. Di peringkat lepasan Sijil Pelajaran Malaysia, ada Tabung Pembangunan Sumber Manusia, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dan pelbagai bentuk pinjaman atau biasiswa yang tidak terdapat di negara lain.

Kesemua kemudahan itu berjaya meletakkan kestabilan politik yang tinggi dan mengamalkan pengurusan ekonomi cekap. Dengan keadaan politik dan ekonomi yang berkembang baik, lebih banyak hasil diperoleh dan hasil itulah kemudiannya diagihkan kepada rakyat sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Oleh ;
 DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia
(Yadim)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan