Islam sebagai agama yang paling cepat berkembang dan diterima sebagai agama pilihan lebih 1.8 bilion orang seluruh dunia kerana kesederhanaannya dan kebenarannya, sentiasa dilihat sebagai musuh yang perlu dihapuskan dengan pelbagai cara.
Oleh itu, bagi mengekang usaha memurtadkan orang Islam, memperkuatkan keimanan adalah langkah paling berkesan berbanding saluran perundangan. Undang-undang hanyalah faktor kawalan dari luar, masih tetap tertakluk kepada keberkesanan penguatkuasaan berbanding kekebalan dari dalam jiwa.
Bagi seseorang Islam yang tidak mempunyai kekuatan, mereka amat mudah terpengaruh dengan pelbagai tawaran dan bentuk pertolongan yang diberikan oleh pihak musuh yang sebahagiannya berselindung di sebalik program kemasyarakatan dan kemanusiaan.
Menurut seorang pemikir Islam terkemuka, Abul 'Ala-Al-Maududi, akidah adalah satu pegangan yang boleh menentukan kedudukan dan kekukuhan keyakinan seseorang.
Hubungan antara Islam dan keimanan ibarat pokok dengan akar. Pokok tidak akan tumbuh subur jika akarnya rosak. Bagi seseorang yang tidak memiliki iman, maka adalah sukar untuknya menjadi seorang Muslim.
Pengukuhan keimanan adalah dimensi yang amat besar dalam menentukan seseorang itu Muslim atau sebaliknya. Akidah diletakkan sebagai tiang yang bakal menegakkan kedudukan keyakinan beragama dalam diri seseorang.
Iman yang kukuh akan menyuburkan kehidupan seseorang Muslim sebagaimana pokok boleh mengeluarkan buah dengan banyak.
Buah itu perlu dijaga daripada ancaman sebarang bentuk serangga perosak seperti ulat, serangan penyakit dan lain-lain musuh. Ibadah itu ibarat baja yang akan menyuburkan pokok dan memberikan nutrien kepada buah agar dapat membesar dan kekal segar di pangkuan tangkainya, tidak mudah gugur sebelum masa penuaiannya tiba.
Di sinilah terletaknya kepentingan ibadah. Akidah dan ibadah mempunyai pertalian atau hubungan yang tidak boleh dipisahkan sama sekali, baik dari segi pengertian atau amalan.
Ertinya apabila seseorang itu beriman dalam ertikata yang sebenarnya maka dengan sendirinya ia adalah Muslim yang kuat beribadah.
Akidah dan iman bukanlah antara perkara-perkara yang dapat dilihat secara nyata. Kerana tidak boleh dilihat itulah maka ada sesetengah orang Islam sendiri amat mudah terpengaruh sehingga hanya menganggap agama yang dianuti itu sebagai "warisan" dan bukannya tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan berterusan.
Dalam satu kenyataan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah amat tersinggung dengan usaha pihak tertentu untuk melemahkan kepercayaan dan akidah orang Islam di Selangor dan telah menjawab tohmahan bahawa JAIS bertindak berdasarkan arahan parti tertentu. Kerajaan pimpinan pembangkang di Selangor terpaksa menerima hakikat bahawa sejak mengambil alih pentadbiran, keadaan akidah umat Islam semakin bercelaru.
Sebagai contoh, rusuhan agama yang berlaku di Kaherah telah menyebabkan dua puluh empat orang mati manakala lebih dua ratus orang lagi cedera menggambarkan sikap melampau ada dalam semua manusia, tanpa boleh mengehadkannya kepada penganut Islam sahaja.
Kumpulan penganut Kristian bertempur dengan pihak keselamatan, membakar kenderaan, melempar bom dan bersenjata bagi membantah serangan ke atas sebuah gereja oleh kumpulan radikal Islam di Aswan beberapa hari lalu.
Kemarahan segelintir masyarakat Islam mengenai percubaan sebuah kumpulan untuk memurtadkan orang Melayu pada 3 Ogos lalu tidak berlarutan kerana lebih ramai lagi rakyat negara ini berfikiran rasional walaupun pada mulanya pelbagai tuduhan berlaku. Rakyat negara ini masih boleh menilai bahawa jika menggunakan pendekatan keras akan mengakibatkan konflik yang lebih besar.
Iman yang kukuh akan menyuburkan kehidupan seseorang Muslim dan perpaduan adalah penyatuan Islam yang sebenar.
DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD. TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah
Malaysia (Yadim)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan