Bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan dan rahmat dari Allah SWT yang dikhaskan bagi orang -orang yang mencari reda dan keampunan Allah. Di antara malam -malam Ramadhan terdapat satu malam yang amalannya lebih baik dari seribu bulan yang mana barangsiapa yang melakukan ibadah di malam itu (malam Lailatulqadar) maka nilai ganjarannya adalah lebih baik dari seseorang yang beribadah terus menerus selama seribu bulan.
Firman Allah SWT, QS. Al- Qadr. Maksudnya: “Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran pada malam Lailatulqadar dan apakah yang menyebabkan engkau mengentahwi apa itu Lailatulqadar. Lailatulqadar lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin Tuhan mereka untuk setiap urusan (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikut). Malam ini sejahtera (berkat) hingga terbit fajar”.
Mengenai pengertian lailatul qadar, para ulama ada menafsirkan. Ada yang mengatakan bahawa malam lailatulqadar adalah malam kemuliaan. Ada pula yang mengatakan bahawa lailatulqadar adalah malam yang penuh sesak kerana malam itu banyak malaikat turun ke dunia. Ada pula yang mengatakan bahawa malam tersebut adalah malam penetapan takdir. Selain itu, ada pula yang mengatakan bahawa lailatul qadar dinamakan demikian kerana pada malam tersebut turunnya kitab yang mulia (Al-Quran), turun rahmat dan turun malaikat yang mulia. Semua makna lailatulqadar yang ditafsirkan ulama ini adalah benar.
Barang siapa yang beribadah di bulan Ramadhan terutama pada 10 malam yang akhir akan mendapat rahmat dijanjikan seperti mana yang terdapat didalam hadis-hadis sahih bahawa malam Lailatulqadar terdapat pada salah satu malam 10 akhir Ramadhan itu, pada malam 21, 23, 25, 27 dan 29. Barang siapa yang tekun beribadah di malam-malam tersebut untuk menemui malam Lailatulqadar akan mendapat rahmat yang dijanjikan itu samada ia dapat menemui atau tidak kerana pada 10 hari terakhir itu dapat;
- Menghayati malam tersebut dengan beribadah.
- Beriman dengan yakin bahawa malam Lailatulqadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadah.
- Amal ibadah itu dikerjakan kerana Allah SWT semata-mata dengan mengharapkan rahmatNya dan keredaanNya.
Rasulullah SAW. menganjurkan supaya umatnya bersedia menyambut dan menghayati malam yang berkat itu dengan membanyakan amalan dan ibadah yang diterangkan di antaranya hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah RA.
Maksudnya: “Barangsiapa menghayati malam Lailatulqadar dengan mengerjakan sembahyang dan berbagai jenis ibadat yang lain sedang ia beriman dan mengharapkan rahmat Allah nescaya ia diampunkan dosanya yang terdahulu.
Rasulullah SAW sendiri menjadi contoh yang menghayati malam lailatulqadar terutama 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan dengan beriktikaf di Masjid mengerjakan pelbagai amal ibadah untuk menyambut malam Lailatulqadar yang mulia.
Para alim ulama mengatakan beberapa tanda atau alamat malam Lailatulqadar:
- Ada yang berkata orang yang menemui malam Lailatulqadar ia melihat nur yang terang benderang di segenap tempat hingga di segala cerok yang gelap gelita.
- Ada pula yang berkata ia mendengar ucapan salam dan kata-kata yang lain dari Malaikat.
- Ada juga yang berkata ia melihat segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud.
- Ada pula yang berkata doa permohonannya makbul.
Doa khusus di Malam Lailatulqadar. Doa tersebut diterangkan di dalam hadis berikut;
Hadis yang diriwayatkan daripada Aishah RA. Maksudnya: “Saya pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, bagimana kiranya saya mengetahui malam Lailatulqadar dengan tepat. Apa yang saya akan doakan pada saat itu. Baginda menjawab berdoalah dengan doa yang berikut”
Maksudnya: “Ya Allah ya Tuhanku sesungguhnya engkau sentiasa memaafkan salah silap hamba lagi suka memaafkan oleh itu maafkanlah salah silapku.
Adalah diharapkan sebelum daripada kita beramal ibadat di malam Lailatulqadar hendaklah kita bertaubat dengan sebenar-benarnya iaitu taubat nasuha dan terus beristiqamah tetap teguh mengerjakan suruhan Allah SWT dan meninggalkan segala laranganNya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan