Sabtu, 16 Jun 2012

ISRAK & MIKRAJ HADIAH YANG PALING BEHARGA BUAT UMAT MUHAMMAD SAW.....

 
peringatan yang mengatakan ''sesungguhnya hanya 5 waktu solat sehari pun masih ada lagi umatmu gagal menyempurnakannya...''
ingatlah bahawa solat yang kita dirikan adalah suatu pertemuan kita dengan ALLAH SWT yang dilakukan ketika Rasullullah ''mikraj''.....

Ramai ulama sepakat yang sambutan Israk Mikraj ni ialah amalan bidaah. Dah la bidaah, tarikh sebenar berlakunya Peristiwa Israk Mikraj ni pun sebenarnya bukan pada 27 Rejab. APA PUN OLEH KERANA ADA UNSUR KEBAIKAN''HASSANAH''....ADAKAH IANYA MENJADI SUATU DOSA..??

MARI KITA RENUNGI ISI KANDUNGAN TENTANG PERISTIWA TERSEBUT MELALUI KETERANGAN AYAT AL~QURAN........

Firman Allah bermaksud:

“Maha suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil-Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya (dengan diturunkan nabi-nabi di negeri itu dan kesuburan tanahnya), agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Isra’, ayat 1)


Israk Mikraj adalah satu perjalanan kilat Nabi Muhammad pada malam hari atas kudrat dan iradat Allah dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Baginda kemudian naik ke langit sampai ke Sidratil Muntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah (suatu tempat di mana alam ini diatur) dengan menembusi tujuh lapis langit, lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.

Buraq  pula dikatakan hanya menjadi  sebahagian tunggangan Rasullullah untuk naik ke langit.....ada keterangan yang menyebut....Allah S.W.T memberi wahyu kepada Jibrail A.S pada malam tanggal 27 Rejab, “Janganlah engkau (Jibrail) bertasbih pada malam ini dan engkau ‘Izrail jangan engkau mencabut nyawa pada malam ini.”Jibrail A.S. bertanya, “Ya Allah, apakah kiamat telah sampai?” Allah S.W.T berfirman, maksudnya, “Tidak, wahai Jibrail. Tetapi pergilah engkau ke Syurga dan ambillah Buraq dan terus pergi kepada Muhammad dengan buraq itu.”
Kemudian Jibrail A.S. pun pergi dan dia melihat 40,000 buraq sedang bersenang-lenang di taman Syurga dan di wajah masing-masing terdapat nama Muhammad. Di antara 40,000 buraq itu, Jibrail A.S. terpandang pada seekor buraq yang sedang menangis bercucuran air matanya.
Jibrail A.S. menghampiri buraq itu lalu bertanya, “Mengapa engkau menangis, ya buraq?” Berkata buraq, “Ya Jibrail, sesungguhnya aku telah mendengar nama Muhammad sejak 40 tahun, maka pemilik nama itu telah tertanam dalam hatiku dan aku sesudah itu menjadi rindu kepadanya dan aku tidak mahu makan dan minum lagi. Aku laksana dibakar oleh api kerinduan.”
Berkata Jibrail A.S., “Aku akan menyampaikan engkau kepada orang yang engkau rindukan itu.”
Kemudian Jibrail A.S. memakaikan pelana dan kekang kepada buraq itu dan membawanya kepada Nabi Muhammad S.A.W. Buraq yang diceritakan inilah yang membawa Rasulullah S.A.W dalam perjalanan Israk dan Mikraj.

Apakah yang dikatakan Israk Mikraj itu?

Israk: Perjalanan malam Rasulullah saw daripada Masjid al-Haram di Mekah ke Baitul Maqdis di Palestin.

Mikraj: Perjalanan naiknya Rasulullah saw dari Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis menembusi langit ke sempadan yang paling tinggi iaitu Sidratul Muntaha.

Apakah peristiwa penting yang berlaku sebelum Israk Mikraj ini?
Peristiwa Israk Mikraj berlaku selepas Rasulullah saw diuji dengan kematian dua orang yang sangat dikasihi yang telah banyak membantu baginda dalam usaha menyebarkan dakwah Islam iaitu isteri tercinta Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib.
Tekanan yang dihadapi selepas kematian kedua-dua insan yang disayangi semakin bertambah apabila berlakunya penolakan dakwah oleh penduduk Taif.

Nabi telah ‘dihiburkan’ oleh Allah swt dengan Israk dan Mikraj dan seterusnya diizinkan untuk berhijrah ke Madinah sehingga Berjaya membina Daulah Islamiah yang telah mengubah kedudukan Islam daripada dihina kepada dipandang mulia, daripada lemah kepada memerintah.

Kenapa Israk Mikraj dikatakan sebagai ujian keimanan?

Peristiwa Israk Mikraj ini telah menyaring keimanan serta keyakinan umat manusia terhadap kekuasaan Allah s.w.t dan kebenaran risalah Rasulullah s.a.w. Orang kafir pada ketika itu telah menjadikan peristiwa Israk Mikraj ini sebagai suatu peluang terbaik untuk melakukan operasi pembohongan yang menambahkan lagi penolakan mereka terhadap dakwah Nabi.

Umat Islam sendiri terbahagi kepada beberapa peringkat;

Ada yang terus membenarkan Rasulullah seperti Saidina Abu Bakar as-Siddiq
Ada pula yang mahu penjelasan terperinci dengan menguji Nabi melalui beberapa pertanyaan seperti bilangan pintu dan tiang dalam Masjidil Aqsa bagi membuktikan kebenaran kepada cerita tersebut
Ada pula yang bersikap menolak terus cerita Nabi dan kembali murtad daripada Islam

Ini berlaku semata-mata kerana peristiwa ini sangat menongkah arus akal manusia. Inilah juga gambaran yang akan berlaku apabila umat yang keliru akan meletakkan akal sebagai sumber rujukan hidup yang mengatasi sumber al-Quran dan Sunnah.

Apakah pengajaran pertemuan Rasulullah bersama para Anbiya di langit sebelum menjadi Imam kepada semua mereka di Masjid al-Aqsa?

(Di sinilah tempat yang bersejarah apabila Rasulullah telah dipilih untuk menjadi Imam kepada semua para nabi yang terdahulu)

Perjalanan itu adalah perjalanan yang menghubungkan akidah tauhid yang besar sejak Nabi Adam, Ibrahim, Nabi Ismail, Musa, Isa dan lain-lain sehingga kepada Rasulullah saw yang merupakan penghulu dan penyempurna kepada risalah kenabian.

Tidak kurang juga ada peringatan yang mengatakan ''sesungguhnya hanya 5 waktu solat sehari pun masih ada lagi gagal menyempurnakannya...''

lakaran sejarah selepas kewafatan rasullullah juga mengimbas unat islam tentang perang dunia yang amat panjang...

Pada Jumaat, 27 Rejab 583 Hijrah..... yang bertepatan hari Israk dan Mikraj, Sultan Salahuddin al-Ayyubi memasuki kota Baitul Maqdis. Ibn Shaddad menulis:
 “Itulah kejayaan bagi segala kejayaan. Satu perhimpunan besar yang terdiri daripada para pembesar, ahli peniaga, alim ulama dan orang ramai berhimpun pada saat yang mengembirakan itu. Ramai yang mengucapkan tahniah kepada Sultan Salahuddin dan melaungkan kalimah takbir ‘Allahu Akbar’ serta kalimah ‘La Ilahaillallah’ bergema gagah di angkasaraya

Setelah 90 tahun berlalu tanpa Jumaat sepanjang pemerintahan tentera Salib, sembahyang Jumaat sekali lagi didirikan di Baitul Maqdis. Salib yang berkerlipan di atas kubah Masjid al-Aqsa diruntuhkan. Sesungguhnya suasana ketika itu sukar dibayangkan, tetapi rahmat dan pertolongan Allah SWT dapat disaksikan di setiap tempat pada hari berkenaan. Mimbar istimewa yang yang dibina di bawah arahan Nuruddin al-Zanki, 20 tahun sebelum pembebasan Baitul Maqdis telah dibawa dari Halab, Syria dan didirikan di dalam Masjid al-Aqsa.”

DIANTARA PERISTIWA ISRAK MIKRAJ.....

1. Sebelum Israk dan Mikraj

Rasulullah S. A. W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S. A. W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman. ke dalam dada Rasulullah S. A. W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

2. Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S. A. W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah. ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A. S. menerima wahyu daripada Allah; iii. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A. S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S. A. W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

- Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S. A. W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

- Tempat yang berbau harum. Rasulullah S. A. W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

- Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

- Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

- Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

- Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

- Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

- Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

- Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

- Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

- Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

- Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S. A. W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

- Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S. A. W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

3. Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S. A. W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

 Langit Pertama:
 Rasulullah S. A. W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A. S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

 Langit Kedua:
 Nabi S. A. W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A. S. dan Nabi Yahya A. S.

 Langit Ketiga:
 Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A. S.

 Langit Keempat: 
Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A. S.

Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A. S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

 Langit Keenam:
 Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A. S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

 Langit Ketujuh:
 Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya.

 Kepada Rasulullah S. A. W., Nabi Ibrahim A. S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dho'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu ''LAH HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH". Mengikut riwayat lain, Nabi Irahim A. S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu:'' SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WALA ILAHA ILLALLAH ,ALLAHU AKBAR dan WALA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAHIL 'ALIYYIL-'AZHIM''. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa peristiwa! lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

Tangga Kelapan: 
Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S. A. W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

Tangga Kesembilan:
Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.


Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S. W. T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S. W. T : Ya Muhammad.
 Rasulullah : Labbaika. 
Allah S. W. T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan. 
Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.
 Allah S. W. T : aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

4. Selesai munajat
 Rasulullah S. A. W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A. S. kemudian Nabi Musa A. S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S. A. W. merayu kepada Allah S. W. T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

5. Selepas Mikraj
Rasulullah S. A. W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.

(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id) Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.


Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia AKAN TAHU IANYA ADALAH HADIAH DARI ALLAH SWT KEPADA RASULLULLAH DAN BUAT UMATNYA.....

~wallahullam.....~jaksa kotaraja

Tiada ulasan:

Catat Ulasan