Ahad, 23 Oktober 2011

PELAJAR MISKIN DIROTAN AKIBAT TIADA BAJU SEKOLAH..??




Saya mengajar di sekolah rendah di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur . Saya mengajar sesi petang. Salah seorang murid saya setiap hari datang lambat ke sekolah. Kasut dan bajunya selalu kotor. Setiap kali saya bertanya tentang baju dan kasutnya dia hanya berdiam diri.  Saya masih bersabar dengan keadaan pakainnya, tetapi kesabaran saya tercabar dengan sikapnya yang setiap hari datang lambat.


Pada mulanya saya hanya memberi nasihat. Dia hanya menundukkan kepala tanpa berkata-kata kecuali anggukkan yang seolah-olah dipaksa. Kali kedua saya memberi amaran, dia masih juga mengangguk tetapi masih juga datang lambat keesokannya. Kali ketiga saya terpaksa menjalankan janji saya untuk memukulnya kalau masih lambat.  Anehnya dia hanya menyerahkan punggungnya untukdirotan . Airmata saja yang jatuh tanpa sepatah kata dari mulutnya. Keesokan harinya dia masih juga lambat, dan saya memukulnya lagi. Namun ia masih tetap datang kesekolah dan masih tetap lambat.




Suatu hari saya bercadang untuk mengintipnya ke rumahnya. Setelah mendapatkan alamatnya, saya meneruskan niat saya. Dia tinggal di sebuah kawasan setinggan tidak berapa jauh dari sekolah.  Keadaan rumahnya sangat daif. Saya nampak murid saya itu sedang berdiri di depan rumahnya dalam keadaan gelisah. Seorang wanita yang mungkin ibunya juga kelihatan gelisah.


Lebih kurang pukul 1.30 seorang anak lelaki sedang berlari-lari sekuat hati menuju ke rumah itu. Sambil berlari dia membuka baju sekolahnya. Sampai di depan rumah baju dan kasutnya diserahkan pula kepada murid saya yang terus bergegas memakainya. Sebelum pakaian sekolah sempurna dipakai, dia sudah berlari ke arah sekolah.

Saya kembali ke sekolah dengan penuh penyesalan. Saya memanggil anak itu sambil menahan airmata yang mula tergenang.  “Maafkan cikgu. Tadi cikgu pergi ke rumah kamu dan memerhatikan kamu dari jauh. Siapa yang berlari memberikan kamu baju tadi?” Dia terkejut dan wajahnya berubah.


“Itu abang saya. Kami kongsi baju dan kasut sebab tak ada baju lain. Itu saja baju dan kasut yang ada. Maafkan saya, cikgu.” Jawabnya


“Kenapa kamu tak beritahu cikgu dan kenapa kamu biarkan saja cikgu pukul kamu?”


” Mak pesan, jangan meminta-minta pada orang, jangan ceritakan kemiskinan kita pada orang. Kalau cikgu nak pukul serahkan saja punggung kamu.”


Sambil menahan airmata yang mula berguguran saya memeluk anak itu, “Maafkan cikgu, …….”


Kejadian itu cukup menginsafkan saya. Selepas itu saya cuba membantunya setakat yang mampu.

Cerita-cerita begini membantu melembutkan hati yang keras. Kata seorang guru, sekiranya hati kita mula keras lembutkanlah dengan perkara-perkara berikut;
i. Solat sunat
ii. puasa sunat
iii. berzikir
iv. bersedekah
v. mengusap rambut anak yatim
vi. mendengar cerita-cerita kesusahan orang lain
vii. membantu orang susah



@sumber dari bicara seorang guru sekolah

Jumaat, 21 Oktober 2011

HIMPUNAN ISLAM SEJAGAT




Mereka yang menyedari bahawa himpunan hasil gabungan mencecah 1,000 NGO Muslim yang julung kali dianjurkan ini, bakal menyatukan pelbagai lapisan umat Islam di negara tercinta ini. Bukan untuk memecah belahkan seperti mana yang dilaungkan oleh induknya yang terpaksa menikus apabila berhadapan dengan isu Islam dan sekadar mempergunakan ayat al-Quran dan menampalkan peristiwa sejarah silam untuk memperteguhkan kuasa politiknya sahaja.

Sebenarnya, nilai keislaman itu terletak kepada kesungguhan seseorang untuk menzahirkan niat baiknya, dan bukan hanya menterjemahkan firman Allah SWT tetapi tidak melakukannya. Islam bukanlah suatu agama yang menganjurkan permusuhan, persengketaan, ketegangan dan perpecahan kerana sebagai cara hidup, Islam itu adalah agama yang berasaskan kasih sayang, kemesraan dan hidup berhemah.

Perhimpunan tersebut sebenarnya menjadi petunjuk bahawa lebih ramai rakyat mahukan gelora yang diakibatkan oleh pautan politik akan terurai dan dapat dibenamkan kerana yang lebih diberikan keutamaan ialah kehidupan yang aman dan tenteram, tidak disebabkan oleh perbezaan pegangan agama.

Dalam tragedi banjir besar di China, rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan politik menubuhkan tabung bencana bagi meringankan beban mangsa. Ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia berupaya melupakan sengketa politik demi kemanusiaan dan sifat kasih sayang itu adalah selaras dengan gesaan Islam.


Sebagai agama majoriti penduduk Malaysia, setiap daripada umat Islam sanggup menghulurkan derma sekadar yang termampu manakala yang lain turut mengumpul pakaian, bahan makanan dan ubat-ubatan. Nilai kasih sayang itu adalah sesuatu yang amat menyeluruh dan kerana itu Malaysia terus dilihat sebagai sebuah negara yang amat serius membumikan semangat kasih sayang.




Sewaktu cuba meringankan beban mangsa malapetaka ada sindiran bahawa itu adalah bersifat politik. Maka, keengganan sebuah parti pembangkang itu juga boleh dilihat bersifat politik, kerana bimbangkan bahawa penglibatannya nanti ditafsirkan sebagai satu percubaan mengalah dan meruntuhkan kredibilitinya sendiri.


Pendirian itu sebenarnya sudah memberikan gambaran bahawa kejelasan maksud telah dipolitikkan sehingga menjadi satu pilihan yang juga bersifat politik. Seharusnya parti itu sedar bahawa politik tidak akan selama-lamanya boleh dijadikan senjata untuk menolak dan menepis sebarang bentuk bantuan kemanusiaan.


Prinsip Islam amat jelas, yang gagah membantu yang lemah. Mereka yang senang membantu mereka yang lemah. Mereka yang tersasar dari landasan perlu dikembalikan ke pangkal jalan manakala yang kehilangan arah di pandu agar segera memperoleh peluang menemui jalan pulang. Inilah makna membumikan kasih sayang, kerana naluri itu adalah nilai kesejagatan yang paling luhur dalam kehidupan manusia yang boleh berfikir, menilai dan menentukan arah sesuai dengan fitrahnya.


Kerana itulah ada di antara kita boleh menerima, setiap bencana yang menimpa sebenarnya satu kaedah Allah SWT menguji kekuatan syahadah yang kita lafazkan setiap ketika. Setiap kejadian buruk adalah ujian yang sengaja dilakukan oleh Allah SWT untuk menguji kecairan iman dan kekentalan jiwa kita.


Bahagialah mereka yang menjadikan kasih sayang sebagai teras dan budaya hidup seharian tanpa mengharapkan keuntungan peribadi. Beruntunglah mereka yang boleh membumikan kasih sayang untuk kepentingan manusia sejagat dan bukannya atas kemahuan politik semata-mata.

Jumaat, 14 Oktober 2011

ISLAM PERPADUAN MASYARAKAT




Islam sebagai agama yang paling cepat berkembang dan diterima sebagai agama pilihan lebih 1.8 bilion orang seluruh dunia kerana kesederhanaannya dan kebenarannya, sentiasa dilihat sebagai musuh yang perlu dihapuskan dengan pelbagai cara.

Oleh itu, bagi mengekang usaha memurtadkan orang Islam, memperkuatkan keimanan adalah langkah paling berkesan berbanding saluran perundangan. Undang-undang hanyalah faktor kawalan dari luar, masih tetap tertakluk kepada keberkesanan penguatkuasaan berbanding kekebalan dari dalam jiwa.

Bagi seseorang Islam yang tidak mempunyai kekuatan, mereka amat mudah terpengaruh dengan pelbagai tawaran dan bentuk pertolongan yang diberikan oleh pihak musuh yang sebahagiannya berselindung di sebalik program kemasyarakatan dan kemanusiaan.

Menurut seorang pemikir Islam terkemuka, Abul 'Ala-Al-Maududi, akidah adalah satu pegangan yang boleh menentukan kedudukan dan kekukuhan keyakinan seseorang.

Hubungan antara Islam dan keimanan ibarat pokok dengan akar. Pokok tidak akan tumbuh subur jika akarnya rosak. Bagi seseorang yang tidak memiliki iman, maka adalah sukar untuknya menjadi seorang Muslim.

Pengukuhan keimanan adalah dimensi yang amat besar dalam menentukan seseorang itu Muslim atau sebaliknya. Akidah diletakkan sebagai tiang yang bakal menegakkan kedudukan keyakinan beragama dalam diri seseorang.

Iman yang kukuh akan menyuburkan kehidupan seseorang Muslim sebagaimana pokok boleh mengeluarkan buah dengan banyak.

Buah itu perlu dijaga daripada ancaman sebarang bentuk serangga perosak seperti ulat, serangan penyakit dan lain-lain musuh. Ibadah itu ibarat baja yang akan menyuburkan pokok dan memberikan nutrien kepada buah agar dapat membesar dan kekal segar di pangkuan tangkainya, tidak mudah gugur sebelum masa penuaiannya tiba.

Di sinilah terletaknya kepentingan ibadah. Akidah dan ibadah mempunyai pertalian atau hubungan yang tidak boleh dipisahkan sama sekali, baik dari segi pengertian atau amalan.

Ertinya apabila seseorang itu beriman dalam ertikata yang sebenarnya maka dengan sendirinya ia adalah Muslim yang kuat beribadah.

Akidah dan iman bukanlah antara perkara-perkara yang dapat dilihat secara nyata. Kerana tidak boleh dilihat itulah maka ada sesetengah orang Islam sendiri amat mudah terpengaruh sehingga hanya menganggap agama yang dianuti itu sebagai "warisan" dan bukannya tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan berterusan.

Dalam satu kenyataan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah amat tersinggung dengan usaha pihak tertentu untuk melemahkan kepercayaan dan akidah orang Islam di Selangor dan telah menjawab tohmahan bahawa JAIS bertindak berdasarkan arahan parti tertentu. Kerajaan pimpinan pembangkang di Selangor terpaksa menerima hakikat bahawa sejak mengambil alih pentadbiran, keadaan akidah umat Islam semakin bercelaru.



Sebagai contoh, rusuhan agama yang berlaku di Kaherah telah menyebabkan dua puluh empat orang mati manakala lebih dua ratus orang lagi cedera menggambarkan sikap melampau ada dalam semua manusia, tanpa boleh mengehadkannya kepada penganut Islam sahaja.

Kumpulan penganut Kristian bertempur dengan pihak keselamatan, membakar kenderaan, melempar bom dan bersenjata bagi membantah serangan ke atas sebuah gereja oleh kumpulan radikal Islam di Aswan beberapa hari lalu.

Kemarahan segelintir masyarakat Islam mengenai percubaan sebuah kumpulan untuk memurtadkan orang Melayu pada 3 Ogos lalu tidak berlarutan kerana lebih ramai lagi rakyat negara ini berfikiran rasional walaupun pada mulanya pelbagai tuduhan berlaku. Rakyat negara ini masih boleh menilai bahawa jika menggunakan pendekatan keras akan mengakibatkan konflik yang lebih besar.

Iman yang kukuh akan menyuburkan kehidupan seseorang Muslim dan perpaduan adalah penyatuan Islam yang sebenar.


DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD. TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah
Malaysia (Yadim)

Jumaat, 7 Oktober 2011

ANTARA FADILAT JUM'AT




JUMAAT adalah hari paling mulia serta mempunyai beberapa fadilatnya untuk direnungi.Kitab As Sabi’ iyahti Fi Mawa’izhil Bariyyat banyak memaparkan peristiwa agung yang berlaku pada Jumaat.Antara peristiwa itu ialah perkahwinan Nabi Adam dan Hawa; Nabi Yusuf dengan Zulaiha: Nabi Musa dengan Shafura binti Syuaib; Rasulullah saw dengan Khadijah; Rasulullah dengan Siti Aisyah binti Abu Bakar serta Ali bin Abi Thalib dengan Fatimah Zahara binti Muhammad.

Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah bersabda, maksudnya: “Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah Jumaat, pada hari itulah, Adam diciptakan dan pada hari itulah juga dia dikeluarkan dari syurga.

“Pada Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.” (Hadis riwayat Muslim).

Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud : “Hari yang dijanjikan ialah hari kiamat, hari yang disaksikan ialah hari Arafah dan hari yang menyaksikan ialah hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat.

“Pada hari itu terdapat suatu masa di mana seorang hamba mukmin apabila meminta (berdoa) kepada Allah sesuatu kebaikan melainkan Allah memakbulkan doanya atau ia meminta Allah melindunginya daripada sesuatu kejahatan melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan.” (Hadis riwayat Tirmizi).

Solat Jumaat dua rakaat yang difardukan ke atas umat Islam membuktikan hari itu adalah semulia hari yang perlu ambil manfaat untuk mendapatkan ganjaran Allah daripada setiap amal ibadat yang dilaksanakan.

Rasulullah bersabda: “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta.
“Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu.
“Barang siapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas.
“Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam dan sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur.”


Apabila imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan ikut mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan dalam buku kehadiran malaikat. Umat Islam juga dituntut membuat persediaan sebelum menghadiri solat Jumaat untuk mendapat fadilatnya, termasuk dalam berwuduk, mandi sunat dan tertib ketika menghadiri solat Jumaat.

Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis Rasulullah yang bermaksud: “Sesiapa berwuduk lalu memperelokkan wuduknya, kemudian mendatangi solat Jumaat, terus mendengar dan berdiam diri, tidak berbicara sama sekali, maka diberi tambahan tiga hari lagi.
“Sesiapa yang memegang kerikil untuk dimainkan sehingga tidak memperhatikan isi khutbah, sesungguhnya dia telah melakukan kelalaian, yakni bersalah.”

Hadis di atas membuktikan bahawa Islam memberi penekanan terhadap perlunya makmum menumpukan kepada khutbah yang disampaikan. Isi kandungannya khutbah perlu diteliti bukan hanya sebagai sumber ilmu, malah mencakupi teguran, pembinaan hidup dan nasihat yang berguna.
Daripada Ibnu Umar bahawa Rasulullah bersabda: “Jika seseorang antara kalian mendatangi solat Jumaat, maka hendaklah mandi dulu.” (Muttafaq ‘alaih)
Daripada Samurah, diriwayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda: “Sesiapa yang berwuduk pada Jumaat, maka dengan keringanan itu, bolehlah dilakukan tanpa mandi tetapi mandi itu adalah lebih utama.” (Hadis riwayat Imam Abu Daud dan Termizi).

Kemuliaan yang ada pada Jumaat meletakkannya sebagai ‘penghulu’ segala hari.
Hadis Rasulullah yang diriwayatkan Abu Hurairah yang bermaksud: “Jumaat dinamakan sebagai ‘Saidul aiyam’ iaitu penghulu segala hari (hari yang sebaik hari).”

Ada banyak hadis dan riwayat mengenai kelebihan hari Jumaat. yang bertujuan menceritakan ganjaran yang perlu direbut oleh umat Islam. Antaranya:

Orang yang meninggal dunia pada hari Jumaat akan terlepas soal jawab kubur hingga hari Kiamat.

Sesiapa yang membaca surah Ali Imran pada hari Jumaat, maka Allah dan malaikat mendoakan kebaikan ke atasnya sehingga matahari terbenam pada hari itu.

Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abi Said Al-Khudri bermaksud: “Sesiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, Allah menerangi hidupnya antara dua Jumaat.”

Sesiapa membaca Surah Yassin pada malam Jumaat, Allah mengampunkan dosa kecil yang dilakukan, demikian menurut hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abi Hurairah.


Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abi Khatadah, bermaksud: Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat seolah-olah dirinya bersih hingga Jumaat akan datang.

Mereka yang mendirikan solat Jumaat antara satu Jumaat ke satu Jumaat berikutnya, maka Allah mengkifaratkan atau mengelakkan dia daripada terbabit dosa besar.

Mereka yang berdoa dengan penuh keikhlasan hati pada Jumaat, mudah dimakbulkan Allah.

BELANJAWAN RAKYAT



Setiap kali belanjawan dikemukakan, tentunya ada lebih ramai rakyat yang menyambut strategi bajet yang lebih mengutamakan kepentingan rakyat dari segala-galanya. Sebagaimana dijanjikan sebelum ini, Belanjawan 2012 memberikan fokus membantu rakyat mengekang kenaikan kos sara hidup, dan bukannya bajet yang tidak mengambil kira masalah golongan berpendapatan rendah sebagaimana didakwa.

Minggu ini adalah minggu yang dinanti dengan penuh harapan oleh 28 juta rakyat Malaysia. Perdana Menteri akan mengumumkan pelbagai pendekatan belanjawan bagi mengurangkan beban rakyat, termasuk memperuntukkan lebih banyak wang untuk kesihatan dan pelajaran.

Dua sektor ini, setiap tahun akan memperoleh peruntukan besar, kerana amat penting untuk menjamin lahirnya modal insan yang dapat meneruskan kesinambungan pembangunan negara
Saban tahun, setiap rakyat sebenarnya menerima subsidi kerajaan sejak sebelum dilahirkan lagi. Sebelum seseorang bayi lahir, kerajaan memperuntukkan pembiayaan ibu-ibu hamil bagi mendapatkan pemeriksaan kesihatan, dan apabila tiba ketikanya bersalin, mereka bersalin di hospital kerajaan dengan bayaran paling minimum.


Setelah seorang kanak-kanak mencapai tahap umur persekolahan, mereka diberikan subsidi yuran sekolah dan buku teks. Para pelajar tidak perlu membayar gaji guru sebagaimana terpaksa ditanggung oleh rakyat Kampuchea.

Setiap pelajar, diwajibkan membayar gaji guru satu riel (RM 0.50) setiap hari dan ini bermakna sepanjang tahun dengan tempoh persekolahan selama 220 hari, seorang pelajar diwajibkan membayar RM110.00. Pelajar juga tidak dibekalkan buku teks dan keadaan sekolah mereka adalah serba kekurangan.

Di Malaysia, keluarga miskin dibantu sama ada melalui program E-Kasih ataupun dibiayai menerusi Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin. Di peringkat lepasan Sijil Pelajaran Malaysia, ada Tabung Pembangunan Sumber Manusia, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dan pelbagai bentuk pinjaman atau biasiswa yang tidak terdapat di negara lain.

Kesemua kemudahan itu berjaya meletakkan kestabilan politik yang tinggi dan mengamalkan pengurusan ekonomi cekap. Dengan keadaan politik dan ekonomi yang berkembang baik, lebih banyak hasil diperoleh dan hasil itulah kemudiannya diagihkan kepada rakyat sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Oleh ;
 DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia
(Yadim)