Ketahuilah, ujian para Nabi dahulu lebih berat jika nak dibandingkan dengan kita. Sebab itulah Nabi indah dan terlalu istimewa di ‘mata’ Allah.
Adakah kita reda? Adakah kita ikhlas? Kerana siapa sebenarnya hidup dan mati kita? Kerana siapa kita berbuat amal dan kebaikan?
Ingin membuktikan bahawa kita cinta pada Allah tak semudah melafazkannya menggunakan media lidah dan bibir semata-mata. Tanpa penghayatan dari hati, tanpa kesedaran dari jiwa, cinta pada Allah itu seakan kosong dan kontang tanpa sebarang rasa.
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud : “Sungguh,orang yang beriman ialah apabila disebut nama Allah,akan gementarlah hati mereka, apabila dibacakan ayat-ayatNya, bertambahlah iman mereka kerana-Nya, dan hanya kepada Tuhan mereka sahajalah mereka bertawakal.” (Surah Al-Anfal : 2)
Kadang-kadang, mudah sangat hati ini berkecil hati dan terasa dengan perbuatan manusia yang kadangkala mengguris hati dan perasaan kita. Namun, kita lupa, itu juga merupakan ujian untuk mentarbiyah hati dan jiwa agar tetap sabar dan tegar. Lemahnya engkau duhai hati!
Sa’ad bin Abi Waqqas berkata : “Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w. ; ‘Ya Rasulullah, siapakah orang yang paling berat ujian dan cubaannya?’ Nabi s.a.w. menjawab ; ‘Para Nabi, kemudian yang meniru (menyerupai) mereka. Seseorang diuji mengikut kadar agamanya. Kalau agamanya nipis (lemah) dia diuji sesuai dengan itu (ringan) dan apabila imannya kukuh diuji sesuai dengan itu (keras). Seseorang diuji terus-menerus sehingga dia berjalan di muka bumi, bersih daripada dosa-dosa.’”
(Riwayat Bukhari)
Hidup di dunia ini merupakan ujian, dugaan dan masalah yang tidak berpenghujung. Datangnya tanpa diundang, silih berganti dalam pelbagai bentuk ; kesusahan, kemudahan, kebaikan dan keburukan.Ketahuilah, di mana ada suka, di situ ada duka.
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud : “Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang yang berjihad dan bersabar antara kamu dan agar Kami menyatakan (baik buruknya) hal ehwalmu.”
(Surah Muhammad : 31)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan