Rabu, 24 Oktober 2012

SEJARAH ZULHIJJAH...

..SEJARAH ZULHIJJAH KEMBALI MENGINGATKAN KITA PADA PERISTIWA YANG SERING KITA DENGAR DAN ADA JUGA KITA JARANG ATAU LANGSUNG TIDAK PERNAH DENGAR...SEPERTI MEKAH PERNAH DITAWAN PADA ZULHIJJAH 1979 YANG AKAN DIPAPARKAN .....DAN KISAH PERANG DAN PERJUANGAN KHALIFAH,ULAMA DAN TOKOH-TOKOH LAINYA..

A. Pengorbanan Nabi Ismail a.s.

 - Nabi Ibrahim a.s. yang medapat gelaran Rasul Ulul'Azmi sekali lagi membuktikan kepatuhannya terhadap perintah Allah SWT untuk mengorbankan anak yang disayangi Ismail a.s. Lambang kepatuhan dua beranak ini telah diabadikan menjadi syiar Islam melalui sembelihan korban sama ada unta,lembu,atau kambing pada 10,11,12 atau 13 Zulhijjah.

B. Bai'tul Aqabah
 - Pada tahun ketiga belas selepas perlantikan Rasulullah s.a.w. menjadi nabi, berlakulah peristiwa Bai'tul Aqabah ( Perjanjian setia Aqabah )yang disertai kaum Aus dan Khazraj. Mereka telah berjanji akan terus setia mempertahankan, menolong dan menyebarkan ajaran Rasulullah s.a.w kepada penduduk Yatsrib ( Madinah ). Sebenarnya Bai'tul Aqabah adalah pembuka kunci kepada penghijrahan Nabi s.a.w ke Madinah.

C. Hajjatul Wida' ( Haji Selamat Tinggal )
 - Rasulullah s.a.w. hanya sempat mengerjakan haji sebanyak sekali sahaja seumur hidup baginda. Pada tahun kesepuluh Hijrah, Nabi s.a.w. mengerjakan ‘ibadah haji yang dikenali dengan Hajjatul Wida'. Dalam peristiwa Hajjatul Wida' itu,baginda s.a.w. menyampaikan khutbah terakhirnya ( Khutbatul Wida' ) yang terkandung amanat-amanat tentang peraturan dan aturcara kehidupan di dalam Islam.

D. Saidina Umar r.a. meninggal dunia dan Saidina Uthman r.a sebagai pengganti 
- Umar adalah khalifah yang kedua selepas Saidina Abu Bakar r.a. Beliau adalah sahabat rapat Rasulullah s.a.w. dan terkenal dengan sifat tegas dan cerdik sehingga digelar sebagai Umar Al-Faruk ( pembeza ). Pada tahun 23 Hijrah, Amirul Mikminin Umar bin Al-Khattab meninggal dunia dibunuh oleh Abu Lu'luah al-Majusi. Perlantikan Uthaman bin ‘Affan sebagai khalifah ketiga dibuat oleh sebuah majlis mesyuarat ( Syura ) yang telah ditubuhkan oleh Umar bin al-Khattab sebelum kematiannya.

E. Saidina Ali r.a menjadi khalifah yang keempat 
- Setelah berlaku kontroversi tentang pembunuhan Uthman r.a, urusan kepimpinan kerajaan diterajui pula oleh Saidina Ali r.a. Perlantikan Ali bin Abi Talib berlaku pada tahun 35 Hijrah. Namun begitu Ali juga akhirnya dibunuh oleh pihak yang tidak berpuas hati dengan kepimpinannya.

Bulan Zulhijjah juga merupakan bulan terserlahnya simbol kekuatan dan perpaduan ummat Islam iaitu melalui ibadah Haji dan Wukuf di padang Arafah. Bayangkan berjuta-juta umat Islam tidak kira bangsa, warna kulit, bahasa,dan kedudukan bersama-sama mengerjakan ketaatan kepada-Nya. Selain itu,kita disunnatkan berpuasa pada 9 hari pertama termasuk pada hari ‘Arafah ( kecuali bagi orang wukuf dalam mengerjakan haji ).Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Abi Qatadah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : "Puasa pada hari ‘Arafah,saya mengharap agar Allah akan menghapuskan ( dosa ) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang" ( Muslim ).

Kita juga disunnatkan bertakbir ( Allahu Akbar ) dan berzikir padanya, Firman Allah Ta'ala yang bermaksud :"Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum"( hajj : 28 ), hari-hari tersebut dijelaskan sebagai sepuluh hari di bulan Zulhijjah, Oleh kerana itu para ulama' menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadith Ibnu Umar r.a yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Rahimahullah,di antaranya : " Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil ( La Ilaha Illah Allah ),takbir ( Allahu Akbar ) dan Tahmid ( Alhamdulillah )".

Perkara Sunnat lain adalah :

1. Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa.Semoga dengan amalan baik ini dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah.

2. Memperbanyakkan amalan soleh ( baik ) terutama amalan-amalan sunat seperti solat sunat, bersedekah, membaca Al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana kesemuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut.

3. Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu sama ada pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan solat fardhu lima waktu yang dikerjakan secara berjamaah. Bagi mereka yang tidak menunaikan ‘ibadah haji', takbir bermula dari waktu Subuh hari ‘Arafah ( 9 Zulhijjah ) dan bagi yang menunaikannya,takbir bermula pada waktu Zohor Hari Raya Haji ( 10 Zulhijjah ), kesemuanya berakhir sehingga waktu ‘Asar pada hari ketiga belas (13)Zulhijjah.

4. Disyariatkan melakukan korban ( menyembelih haiwan ternakan ) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq ( 11,12 dan 13 Zulhijjah ). Ia merupakan sunnah (amalan) Nabi Allah Ibrahim a.s setelah Allah Ta'ala mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail a.s yang kemudian ditebus atau digantikan dengan seekor kibas untuk disembelih.

5. Menunaikan solat hari raya secara berjamaah,mendengar khutbah serta pengajaran daripadanya.

6. 29 Zulhijjah : membaca doa akhir tahun setelah selesai solat Asar hingga sebelum masuk waktu maghrib..

Berkata sebahagian ulama' "Sesiapa yang memuliakan hari-hari yang berlalu dalam bulan Zulhijjah, nescaya ia akan dianugerahi oleh Allah dengan 10 macam kemuliaan iaitu :

1. Berkat pada umurnya

2. Bertambah hartanya

3. Kehidupan rumahtangganya akan terjamin

4. Membersihkan dirinya daripada dosa dan kesalahan yang telah lalu.

5. Amal ibadat serta kebaikannya akan berganda

6. Allah akan memudahkan di saat kematiannya

7. Allah akan menerangi kuburnya selama berada di alam barzakh

8. Allah akan memberatkan timbangan amal baiknya semasa di padang mahsyar

9. Selamat daripada jatuh kedudukan di dunia

10. Martabatnya akan dinaikkan di sisi Allah

Maka selaku umat Islam hendaklah kita memperbetulkan kefahaman kita bahawa bulan Zulhijjah bukanlah sekadar bulan haji sahaja yang di sambut ala kadar sebagaimana biasa bahkan bulan Zulhijjah sebenarnya adalah bulan yang penuh keberkatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan