Jumaat, 3 Ogos 2012

RAMADHAN ,Saat akhir & Saidina Ali Karamallahu Wajhah pergi selamanya


Bulan Ramadhan yang terakhir yang dijalani oleh Saidina Ali dalam hidupnya merupakan bulan Ramadhan yang lain dari biasanya. Bagi keluarga Ali, semenjak hari-hari awal Ramadhan ini penuh kegelisahan dan kesedihan. Tingkah laku Ali berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya.

Dalam Nahjul Balaghah iaitu kumpulan pidato dan khutbah Saidina Ali, beliau menyebut, “Ketika ayat ini diturunkan; “Alif Lam Mim. Apakah manusia itu mengira mereka bahawa mereka itu dibiarkan sahaja dan mengatakan; kami telah beriman, sedang mereka belum diuji lagi?, aku menyedari bahawa sepeninggalan Rasulullah SAW nanti, umat ini akan mengahadapi cubaan yang besar. Aku bertanya kepada Rasulullah, “Ya Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan fitnah dalam ayat ini?”

Baginda menjawab; “Wahai Ali! Umatku akan menghadapi fitnah dan cubaan yang besar sepeninggalanku nanti”. “Ya Rasulullah, mereka telah syahid di Uhud, iaitu tujuh puluh mujahid Islam termasuk Hamzah bin Abdul Muttalib. Mereka semua telah meneguk madu syahadah. Sedangkan syahadah telah menjauh dariku dan aku tidak mendapat anugerah dan curahannya. Inilah yang membuatkan aku benar-benar gelisah. Mengapa aku tidak ikut syahid seperti mereka?”

Baginda menjawab, “Kalau di Uhud engkau tidak menemui syahadah, maka di tempat lain pasti engkau akan menemuinya. Jangan bimbang. Syahadah akan segera mendatangimu. Hanya tinggal bagaimana kesabaranmu dalam menghadapinya.” “Ya Rasulullah, jangankan engkau mengatakan bagaimana kesabaranku dalam menghadapi syahadah, tapi katakan bagaimana aku harus mengsyukurinya. Bukankah syahadah itu merupakan hadiah Ilahi di mana kita dituntut untuk bersyukur dan bukannya bersabar.”

Dengan berita-berita yang diisyaratkan oleh Rasulullah SAW dan beberapa tanda yang Ali sendiri mengetahuinya, timbullah kegelisahan dalam ahli keluarga beliau dan sahabat-sahabatnya. Di bulan Ramadhan itu, beliau mengucapkan hal-hal yang tidak biasa diucapkan sebelumnya. Selalu berbuka di rumah anak-anaknya; setiap malam menjadi tamu salah seorang daripada anaknya, terkadang di rumah al-Hasan, al-Hussein atau di rumah anak perempuannya, Zainab al-Kubra.

Beliau makan sedikit daripada biasa. Mereka semua gelisah dengan keadaan ayah mereka. Mereka bertanya, “Ayahku tercinta, mengapa sedikit sekali ayah makan?” Beliau menjawab, “Aku ingin bertemu dengan Tuhanku dalam keadaan lapar.” Anak-anak beliau mengetahui bahawa ayah mereka sedang menunggu hari syahadahnya yang kian mendekat. Seringkali beliau menatap ke langit dan berkata, “Habibi ya Rasulullah, apa yang engkau janjikan kepadaku benar-benar akan terjadi. Bukan dusta! Kini hal itu sudah sedemikian dekatnya.”

Pada hari ketiga belas bulan itu, tepatnya pada hari Jumaat, beliau bertanya kepada anaknya, “Anakku Hussein, tinggal berapa hari lagi bulan suci ini akan berakhir?” Al-Hussein menjawab, “Tujuh belas hari lagi, ayahku.” Lalu beliau berkata, “Ya, telah dekat hari ketika janggut ini akan berubah warna menjadi merah kerana darah yang mengalir dari kepalaku.”

Malam kesembilan belas telah tiba. Di separuh malam itu, anak-anak beliau berkumpul di rumahnya. Ketika al-Hassan pulang, beliau langsung ke mushallanya (Darul Imarah). Beberapa saat menjelang subuh, kerana khuatir dengan keadaan ayahnya, al-Hassan kembali menziarah ayahnya. Pada saat itu, beliau berkata kepada al-Hassan, “Sayangku! (Ali memberi kasih sayang dan penghormatan khusus untuk al-Hassan dan al-Hussein kerana mereka adalah anak-anak daripada puteri Rasulullah SAW, Fatimah az-Zahra, dan satu-satunya cara untuk menghormati Rasullullah dan a-Zahra adalah dengan menghormati dan menyayangi mereka) Aku baru bermimpi bertemu dengan Rasulullah SAW. Kukatakan kepadanya, “Ya Rasulullah! Selama hidupku, aku telah banyak disakiti oleh umat ini. Mereka enggan mengikuti perintah dan bimbinganku.”

Kalau kita melihat sejarah Ali, memang benar bahawa mereka telah menyakiti Ali. Bacalah sejarah sahabat-sahabat Aisyah dan bagaimana mereka mengingkari baiah. Bacalah tentang Muawiyah dengan segala tipu muslihat dan kejahatan yang dilakukannya. Sesiapa pun yang membaca kisah tragedi yang menimpa Ali dalam sejarah, pasti akan hairan dan terperanjat. Gunung pun tidak sanggup menahan derita yang ditanggung oleh beliau. Dalam keadaan demikian, kepada siapa beliau harus mengadu? Dengan siapa harus berkongsi derita? Sekarang adalah saatnya beliau mengadu kepada Rasulullah, meskipun hanya melalui mimpi. “Ya Rasulullah. Apa yang harus kulakukan terhadap mereka? Ya Allah. Gantikan mereka untukku dengan orang-orang yang lebih baik daripada mereka dan gantilah aku untuk mereka dengan orang yang lebih buruk daripadaku.(Khutbah 68, Nahjul Balagah)

al-Hassan semakin khuatir dengan keselamatan ayahnya. Saidina Ali keluar dari rumah di saat ayam jantan mulai berkokok. Beliau berkata, “Biarkan mereka berkokok, kerana tidak lama lagi ia akan digantikan dengan tangisan manusia.” Anak-anak Ali berusaha menahan ayah mereka pergi sendirian. “Ayah tercinta. Sebaiknya kirimkan sahaja orang lain untuk menggantikanmu.” Beliau menjawab, “Biarlah aku pergi sendiri. Aku juga tidak mahu ditemani oleh orang lain.”

Saat yang ditunggu telah tiba. Setelah mengumandangkan azan, beliau mengucapkan selamat tinggal kepada fajar shadiq, “Wahai subuh! Wahai fajar! Sejak Ali dilahirkan dan membuka matanya kepada dunia, pernahkah ada hari di saat engkau terbit, sedang mata Ali masih tertidur? Saksikanlah! Sesungguhnya mata Ali akan tidur untuk selamanya. Bukalah jalan untuk mukmin mujahid ini.

Allamah Al-Qunduzi dalam kitabnya Yanabi’ Al-Mawaddah menukil bahwa pada malam terjadinya pemukulan atas diri beliau oleh Abdurrahman bin Muljam, Imam Ali AS berkali-kali keluar dari rumahnya dan memandang ke arah langit. Berulang kali beliau mengatakan, “Demi Allah aku tidak berbohong dan aku tidak menerima berita yang bohong. Malam ini adalah malam yang dijanjikan untukku.”

Dengan langkah perlahan Imam Ali berjalan menuju masjid. Saat memasuki Masjid beliau melihat Ibnu Muljam sedang tertidur. Imam Ali membangunkannya lalu berjalan menuju ke mihrab untuk melaksanakan shalat Subuh. Masjid telah dipenuhi oleh jemaah yang berbaris rapi membentuk shaf-shaf. Ali memuji tuhannya dengan mengangkat tangan.

Allahu Akbar.

Pujian itu diikuti oleh jemaah shalat yang telah siap. Tak lama kemudian Ali ruku lalu meletakkan dahi di atas tanah seraya mengagungkan Tuhannya. Tiba-tiba saat mengangkat kepala dari sujud, pedang Ibnu Muljam yang beracun mendarat tepat di kepalanya. Gema Allahu Akbar yang keluar dari mulut Ali membubarkan barisan shalat.

Ibnu Muljam ditangkap. Darah segar mengucur dari kepala Ali yang terbelah. Meski demikian, putera Abu Thalib ini sempat melarang masa menghakimi orang yang berniat membunuhnya itu. Beliau meminta Ibnu Muljam dibawa ke hadapannya. Kepadanya beliaau berkata, “Mengapa engkau lakukan ini padaku? Apakah aku pemimpin yang buruk bagimu?” Ali memerintahkan orang-orang untuk membawa Ibnu Muljam namun melarang mereka menyakitinya. Masjid Kufah mendadak tenggelam dalam tangis dan duka.

Pada pagi itu, Zainab, Ummi Kalsum dan seluruh keluarga Saidina Ali dicengkam gelisah. Mereka bimbang keselamatan ayah mereka. Peristiwa apakah yang akan terjadi di pagi ini? Tidak lama kemudian, terdengar jeritan bergema disusul dengan gemuruh tangisan membanjiri lorong-lorong subuh.

Dalam sepanjang sejarah hidup Ali, empat puluh lima jam yang terakhir dari hayatnya adalah yang paling menakjubkan. Ali telah menjalani beberapa masa dalam hidupnya. Pertama, sejak lahir hingga bi’tsah ar-Rasul. Kedua, dari bi’tsah sampai hijrah. Ketiga, dari hijrah sehingga wafatnya Rasulullah. Keempat, dari wafat Rasulullah sehingga dua puluh lima tahun khilafah. Kelima, empat tahun setengah masa khilafahnya. Dan terakhir, yang masanya tidak lebih daripada dua hari, namun merupakan episod yang paling menakjubkan iaitu sekitar empat puluh lima jam sejak dipukul dengan pedang beracun sampai beliau syahid. Masa yang jelas memperlihatkan kesempurnaan Saidina Ali.

Apa tindakan pertama Saidina Ali menjelang kematiannya? Ketika pukulan pedang itu mengenai kepala beliau yang suci, hanya terdengar dua kalimat darinya. Kalimat pertama, “Tangkaplah lelaki ini!” Kemudian beliau mengucapkan, “Fuztu wa Rabb al-Kaabah, Demi Tuhan Kaabah, aku telah beruntung. Mencapai kesyahidan bagiku merupakan suatu keuntungan yang besar”.

Orang-orang mengangkat tubuh suci itu dan membaringkannya di atas tikar. Kemudian didatangkan seorang tabib bernama Atsir bin Amr yang tinggal di Kufah untuk mengubati beliau. Diriwayatkan, diletakkan urat paru-paru kambing yang hangat atas lukanya untuk mengetahui apakah racun telah masuk ke saluran darah.

Akhirnya tabib tidak sanggup lagi merawati beliau kerana lukanya yang amat parah. Dia berkata, “Ya Amirul Mukminin, jika Tuan punya wasiat, maka sekarang telah tiba saatnya untuk Tuan katakan.”

Ketika Ummu Kalsum bertemu dengan Ibnu Muljam, pembunuh ayahnya, dia berkata, “Apakah yang telah ayahku lakukan kepadamu sehingga tergamak engkau melukainya dengan kejam? Aku berharap kepada Allah agar ayahku cepat sembuh sehingga segala usahamu akan sia-sia.” Dengan sikap iblisnya si mal’un itu menjawab, “Wahai Ummu Kalsum! Perlu kau ketahui bahawa pedang yang kugunakan untuk memukul ayahmu itu telah kubeli dengan seribu dirham dan kuracunkan semahal seribu dirham juga. Seandainya semua kepala penduduk Kufah dibariskan pada satu tempat, dan kutetak pedang ini dari awal hingga hujung barisan, nescaya semua akan mati binasa. Jangan terlalu banyak berharap, kerana ayahmu tidak lama lagi akan pergi meninggalkanmu untuk selamanya.” Dia juga berkata kepada Ali, “Saat kubeli pedang ini, aku telah bersumpah bahawa ia akan kugunakan membunuh seburuk-buruk manusia!” Saidina Ali menjawab, “Benar! Pedang itu juga akan digunakan untuk meng-qishas (bunuh balas) dirimu nanti.”

Pada detik-detik terakhir inilah terlihat keagungan Ali. Dalam wasiatnya beliau berpesan, “Perlakukanlah tawananmu (Ibnu Muljam) dengan baik, wahai anak-anak Abdul Muttalib. Jangan sampai sepeninggalanku nanti kalian ribut dan berperang dengan masyarakat. Jangan kalian menuduh si fulan dan si fulan sebagai penyusun dalam pembunuhan ini. Ingatlah! Pembunuhku telah berhasil ditangkap.”


Beliau berpesan kepada al-Hassan, “Anakku Hassan! Setelah aku tiada, kuserahkan Ibnu Muljam kepadamu. Jika kau mahu membebaskannya, bebaskanlah. Jika kau mahu meng-qishasnya, ingat bahawa dia memukul ayahmu hanya dengan sekali pukulan, maka pukullah dia sekali sahaja. Jika dia mati dengan sekali pukulan, biarlah dia mati. Jika tidak, maka biarkanlah dia pergi.”

Ketika ditawarkan pada beliau semangkuk susu, beliau meminumnya separuh dan separuh lagi beliau perintahkan untuk diberikan kepada tawanannya itu agar tidak kelaparan! Beginilah cara Ali melayani orang yang telah menetak kepala beliau dengan pedang beracun! Maulawi ar-Rumi, penyair-irfan Parsi berkata dalam syairnya;

Dalam keberanian
Engkau adalah singa Rabbani,
Dalam maruah,
Tidak seorang pun yang tahu,
Siapa engkau yang sebenarnya!

Saat demi saat keadaan Ali semakin parah dan racun semakin merebak. Sahabat-sahabat Ali dicengkam duka dan sangat terharu. Mereka tidak dapat menahan titisan airmata, bahkan sebahagian daripada mereka meraung pilu . Namun mereka melihat wajah Ali terus tersenyum redup dan berseri-seri.

Beliau berkata, “Demi Tuhan! Apa yang telah menimpaku bukan suatu hal kubenci. Sama sekali tidak! Syahid di jalan Allah sudah ku angan-angankan sejak sekian lama. Dan bagiku, apakah yang lebih baik dan berharga dari syahadah dalam keadaan ibadah?! Perumpamaanku adalah ibarat seorang asyiq (orang-orang yang diliputi keasyikan atau kecintaan dan kerinduan) yang menemui Ma’syuqnya (pencintanya). Ibarat seseorang yang mencari sesuatu dalam gelap malam dan mendapatkannya.”

Racun semakin melemahkan badannya. Sesekali beliau pengsan. Dalam sedar beliau, dari bibirnya terus mengalirkan pesan-pesan mutiara. Sarat dengan pesan dan hikmah. Kepada anak-anak dan seluruh ahli keluarganya, beliau berpesan, “Hassanku, Husseinku, keluargaku dan semua yang mendengar...aku amanahkan kepada kalian anak-anak yatim. Berpeganglah selalu kepada Al-Quran. Jagalah hubungan baik dengan tetangga. Jagalah waktu solat..keluarkanlah zakat....”

Ketika selesai mengucapkan semua pesannya, mereka terus memerhatikan bibirnya yang suci itu. Mereka lihat Ali sedang bermandi keringat dingin. Ali mulai memejamkan matanya. Mereka diam. Senyap. Tidak ada seorang pun yang mampu untuk membuka mulut. Tiba-tiba keheningan mereka dipecahkan oleh syahadah Ali bin Abi Talib, dan wafatlah Amirul Mukminin.

Ali yang beberapa saat setelah terbitnya fajar hari ke sembilan belas bulan Ramadhan, ditetak kejam oleh pedang Ibnu Muljam, dan roh sucinya diangkat ke malakut a’la pada tengah malam dua puluh satu Ramadhan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan